suria

Mentor 4: Mus Janji Bantu Ayim Hasilkan Single

Ayim dan mentornya, Mus May. - Foto THE STAR Oleh ONG SOON HIN
Ayim dan mentornya, Mus May. - Foto THE STAR Oleh ONG SOON HIN
Ayim dan mentornya, Mus May. - Foto THE STAR Oleh ONG SOON HIN

SHAH ALAM: Ironinya peserta Mentor 4 yang mendapat markah tertinggi pada konsert mingguan sebelum ini, Haimie Napsun atau Ayim tersingkir pada Konsert Mingguan Kumpulan B Pusingan Akhir di Auditorium MBSA di sini, malam tadi.

Protege Mus May itu memperolehi markah keseluruhan yang paling rendah iaitu 98 markah berbanding Adi Hamiz Johar (100 markah) dan Mohd Izwan Mohd Nor (102 markah).

Ayim membuka persembahan dengan lagu klasik Getaran Jiwa dan kemudiannya, memilih untuk berduet dengan juara My Starz LG, Tom menerusi lagu Situasi.

Keputusan malam tadi menunjukkan persembahan Ayim itu nampaknya gagal menambat hati para penonton, juri awam dan juri profesional.

Ini bermakna dua peserta terbaik pada minggu ini iaitu Adi dan Mohd akan menyertai perjuangan Ila (Joe Flizzow) dan Nani (Azmeer) di peringkat separuh akhir nanti.

Berdasarkan markah-markah pada minggu sebelumnya, Ayim sepatutnya selesa dengan kedudukan tangga teratas dengan 70 markah, diikuti Adi (69 markah) dan Mohd (61 markah).

Bagaimanapun, Mus dalam sidang akhbar semalam berkata, dia tidak berasa kecewa malah akur dengan keputusan tersebut.

Jelasnya, ini kerana menang dan kalah adalah adat pertandingan dan setiap peserta perlu bersedia menerima apa-apa keputusan dari awal lagi.

"Saya nak pastikan dia apabila memasuki program ini, kita dah cuba buat sesuatu yang mampu. Ayim dah cuba sesuatu yang dia mampu. Kalau boleh saya nak teruskan lagi lebih daripada program ini. Apa yang pasti, Ayim telah membuat persembahan yang terbaik pada setiap minggu.

"Saya telah menggunakan setiap peluang yang ada untuk mengembangkan bakatnya. Mungkin dia baru. Mungkin ada persembahan-persembahan yang dia tak dapat buat dengan seratus-peratus. Tapi dia dah cuba. Alhamdullilah," katanya.

Dari kaca mata Mus, protegenya telah mempamerkan segala-gala bakat dan kebolehannya.

"Saya rasa dia dah tunjukkan semua. Dia boleh nyanyi serta mampu main gitar dan piano dan . Jadi saya tak rasa dengan kekalahan ini dia tak akan bertapak dalam industri hiburan ini," tegasnya.

Untuk memastikan kesinambungan kerjaya seni Ayim, Mus berjanji membantu protegenya untuk menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah single berdasarkan kemampuannya.

"Tanggungjawab saya bukan setakat mentor sahaja.. Saya tahu dari awal lagi Ayim mempunyai bakat yang boleh diketengahkan dan saya akan membantu Ayim membuat album sekurang-kurangnya single.. Saya akan cuba ke arah itu.

"Saya tak boleh menjamin 100 peratus, tapi saya ada production house. Saya akan teruskan perjuangan Ayim sebab dia minat pada muzik," akui Mus.

Sementara itu, Ayim memberitahu, dia akan memanfaatkan segala ilmu yang diperolehinya dalam sebulan dua ini.

Malah katanya, dia akan mencari ilmu lagi dalam bidang vokal untuk menjadi seorang penyanyi yang hebat pada masa depan.

Sistem pemarkahan Mentor 4 terbahagi kepada tiga iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus undian juri awam yang terdiri daripada pelajar jurusan muzik, wartawan serta golongan semi-profesional dalam bidang muzik.

Bagi kategori undian juri awam (20 markah), Mohd mendahului dengan 16 markah manakala Ayim (10 markah) dan Adi (9 markah).

Persembahan hebat Mohd turut meyakinkan juri dan penonton untuk memberikan markah tertinggi iaitu 41 markah berbanding Adi (31 markah) dan Ayim (28 markah).

Mentor 4 diacarakan oleh Ally Iskandar dan pada minggu ini, juri profesional terdiri daripada Audi Mok dan Faizal Tahir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain