suria

Buang Bayi: Dorong Mila Buat Kerja Amal

KES pembuangan bayi yang semakin berleluasa mendorong Juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila melibatkan diri dalam kerja-kerja amal bagi memastikan gejala itu tidak berterusan.

Untuk itu, dia memberitahu terlibat secara sukarela sebagai hos untuk satu episod daripada 12 episod program Zuriat Kita yang akan disiarkan di Saluran 106 Astro.

Katanya, program tersebut menyentuh tentang kes-kes remaja yang membuang bayi.

"Kita buat perbincangan untuk menasihatkan para remaja supaya jangan membuang bayi.

"Kalau remaja-remaja kat luar boleh dengar apa yang diperkatakan, pasti Mila gembira," katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada Bola Fever Bersama Media 2010 anjuran stesen radio, SuriaFM dan RedFM.

Selain program Zuriat Kita, pemilik nama sebenar Norsyamilla Jirin ini turut menyertai kempen I Know anjuran Cortex Malaysia yang bertujuan membendung kes pembuangan bayi.

Bagi remaja yang sudah terlanjur sehingga mengandung atau melahirkan anak luar nikah, dia menasihatkan mereka supaya jangan mengambil keputusan drastik.

"Cuba cari jalan penyelesaian. Sekarang kerajaan pun ada buat Talian Nur, di mana mereka boleh telefon untuk meminta bantuan.

"Jangan sesekali bertindak melulu dengan membuang atau membunuh bayi yang tidak berdosa itu," katanya yang baru dilantik sebagai Duta Mummy Sllrrp dan Duta Clenx Tea.

Mengenai perkembangan terkininya, single terbaru Mila berjudul Kata Hati Mila (komposer Ajai/penulis lirik Sheikh Kalam) akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Katanya, ia belum dilancarkan kerana masih menantikan pembikinan muat turun nada dering berwarna.

Sementara itu, dia kini sedang menghasilkan album kedua di bawah syarikat sendiri iaitu MJ Panacea Records.

"Baru 20 peratus siap. Bahan dah ada. Sudahpun rekod dua buah lagu. Yang lain masih dalam proses," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran telefilem untuk hari raya ini.

Jika tiada aral melintang, telefilem Abang Kassim Pon Pon bakal ditayangkan pada hari raya pertama di Saluran 105 AstroPrima sementara telefilem Cinta Lemang dan Raya di saluaran RTM1.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain