suria

Kes Badrul Muhayat: Mahkamah Arah Dua Pertuduhan Dirujuk Semula

Badrul Muhayat dan isterinya, Julia Daud hadir di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. - Foto MSTAR
Badrul Muhayat dan isterinya, Julia Daud hadir di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. - Foto MSTAR
Badrul Muhayat dan isterinya, Julia Daud hadir di Mahkamah Majistret Ampang, hari ini. - Foto MSTAR

AMPANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan dua pertuduhan terhadap pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani yang didakwa memukul isterinya, Julia Daud pada 24 Mac lalu dirujuk semula kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Majistret Wan Karimah Wan Md. Ab. Ghani membuat keputusan tersebut selepas mendengar bantahan daripada peguam bela Abdul Rashid Tasin yang mewakili Badrul Muhayat.

Abdul Rashid semasa dalam prosiding memohon kedua-dua pertuduhan itu ditarik balik kerana terdapat pertindihan pertuduhan.

Katanya, pertuduhan kedua sepatutnya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata atau alat.

Mengikut pertuduhan pertama, Badrul didakwa mencederakan Julia dengan menumbuknya di muka dan menendangnya di perut.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memukul isterinya dengan menggunakan batang penyapu di punggung dan kaki.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, dekat sini, kira-kira jam 7 pagi pada tarikh berkenaan.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Badrul didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Wan Karimah mengarahkan kedua-dua pertuduhan itu dirujuk kembali ke TPR sekiranya kedua-dua pertuduhan patut dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan sahaja.

Mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Badrul Muhayat yang berpakaian kot dan kemeja putih hadir di mahkamah bersama isterinya. Mereka kelihatan mesra dengan duduk dan berjalan sambil memegang tangan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Abdul Rashid berkata: "Keputusan dan arahan TPR adalah penting sebelum mahkamah meneruskan perbicaraan atau menerima bantahan peguam bela Badrul Muhayat supaya kedua-dua pertuduhan itu digugurkan."

Media sebelum ini melaporkan Badrul Muhayat diburu selepas dikatakan menghilangkan diri apabila isterinya membuat aduan polis mendakwa dibelasah dan dicederakan.

Kemudian, pelakon itu ditahan di sebuah restoran di Taman Nirwana, dekat sini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain