suria

Amber Chia Ingin Peraga Fesyen Dengan Perut Berisi

Amber Chia bergaya ketika sesi pratonton video teaser The Diary of Amber Chia, semalam. - Foto THE STAR Oleh MUNIRAH MUZAMER
Amber Chia bergaya ketika sesi pratonton video teaser The Diary of Amber Chia, semalam. - Foto THE STAR Oleh MUNIRAH MUZAMER
Amber Chia bergaya ketika sesi pratonton video teaser The Diary of Amber Chia, semalam. - Foto THE STAR Oleh MUNIRAH MUZAMER

BERLAINAN dengan sesetengah wanita mengandung, model antarabangsa Amber Chia yang kini hamil tiga bulan menyifatkan perut berisi sebagai seksi dan cool.

Jika masih ada pihak yang inginkan khidmat catwalknya ketika sarat mengandung, Amber tidak akan teragak-agak merebut peluang tersebut.

Isteri Adrian Wong ini ingin terlibat dalam pertunjukan fesyen wanita mengandung!

"Rata-ratanya, wanita yang mengandung sekarang lebih gemar memakai pakaian yang konservatif dan mudah.

"Mereka hanya pakai T-Shirt ataupun seluar panjang yang labuh. Bagi saya, saya ingin menyerlahkan kecantikan wanita mengandung dengan memakai pakaian yang "ketat". Saya rasa itu adalah cool," katanya kepada mStar Online.

Semalam, Amber menandatangani perjanjian persefahaman dengan agensi komunikasi, Creative Republic yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Esther Tan dan syarikat produksi filem, Filmbase (Produser Eksekutifnya, Jennifer Monteiro) untuk menghasilkan program realiti, The Diary Of Amber Chia.

Jika program realiti Gugu Gaga Erra menyingkap saat-saat artis Erra Fazira menjaga bayi kesayangannya Engku Aleesya Engku Emran, program realiti Amber pula menyelusuri tempoh mengandung model jelita itu.

Amber berpendapat, ia bukan sesuatu yang kurang menarik apabila wanita hamil memakai pakaian seksi dan ketat.

"Sepatutnya, anda patut berasa gembira kerana perut semakin berisi. Ini bermakna janin anda semakin membesar dan bayi akan dilahirkan tidak lama lagi. Perasaan itu amat istimewa.

"Oleh itu, saat ini, saya benar-benar berharap dapat menyerlah keindahan wanita mengandung, gaya hidup mereka menerusi program realiti ini," ujarnya.

Pengasas Amber Creations Sdn Bhd ini berharap The Diary of Amber Chia dapat mengubah persepsi pihak terbabit melalui tayangan fesyen pakaian mengandungnya serta gaya hidupnya.

Dia percaya ramai wanita mengandung di negara ini berasa mereka "hodoh" kerana perut mereka berisi lalu enggan keluar dari rumah.

"Saya perlu tegaskan program realiti ini bukanlah drama yang direka-reka tetapi program realiti sebenar yang menampilkan gaya hidup aktiviti harian sebenar saya kelak," katanya.

Amber turut mendambakan saat-saat dia melahirkan anak dapat dirakamkan.

"Ia akan menjadi memori indah buat anak saya pada masa depan," katanya dengan penuh harapan tinggi.

Sementara itu, Amber memberitahu, dia tidak berasa loya, mual dan muntah buat masa ini.

Katanya, dia belum lagi mengidam apa-apa makanan tertentu kerana ia biasanya berlaku pada bulan keempat hingga keenam iaitu semester kedua dalam proses kehamilan.

Amber juga mendedahkan imbasan yang dilakukan doktor pada perutnya menampakkan sedikit alat kelamin lelaki pada janin.

Dia ingin menjadi seorang ibu yang penyayang.

Artikel Lain