suria

Gelaran ‘Puan’ Bukan Kerana Diskriminasi- Sheila Rusly

- Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT
- Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT
- Foto THE STAR Oleh SHAARI CHEMAT

AGAK janggal apabila aktres Sheila Rusly diperkenalkan sebagai penerbit Puan Sheila Rusly semasa penghargaan awal drama Roh Kembali… yang bakal disiarkan pada 20 Mei ini di TV3.

Rasanya bukan baru-baru ini sahaja perkara seperti itu berlaku. Sudah beberapa siaran drama yang menulis nama Sheila dengan gelaran ‘Puan’.

Bila tiba nama suaminya, Azman Yahya atau Jinggo, tiada pula gelaran ‘Encik’ yang digunakan. Seolah-olah ada suatu yang tidak kena pada gelaran itu.

Namun, Sheila yang juga pemilik bersama syarikat JS Pictures itu tidak menafikan memang dia sengaja meletakkan gelaran itu. Malah dia juga tidak kekok apabila suaminya sendiri memanggilnya Puan Sheila ketika sesi ramah mesra majlis tersebut di Sri Pentas, TV3 semalam.

“Bagi saya, gelaran ‘Puan’ digunakan bukan kerana diskriminasi tetapi atas dasar kerja. Saya rasa tak salah untuk saya menggunakan gelaran itu walaupun suami saya tidak mahu meletakkan gelaran 'Encik' pada namanya.

“Sedangkan ketika di lokasi sekalipun, saya tidak memanggil suami saya sayang dan gelaran tidak formal. Begitu juga dia memanggil saya dengan nama watak yang saya lakonkan seperti Maheran untuk drama ini.

“Kami amat profesional ketika bekerja dan apabila di rumah, baru saya memanggilnya abang,” jawab Sheila spontan ketika diajukan persoalan itu.

Tambahnya lagi, gelaran ‘Puan’ hanya ditulis ketika memperkenalkan dirinya sebagai penerbit dan apabila tiba nama barisan pelakon, dia kembali menggunakan nama Sheila Rusly.

Menyentuh tentang drama Roh Kembali…, Sheila sanggup berbelanja besar demi menjayakan kesan khas dan menguatkan watak setiap pelakon drama yang dirahsiakan kos produksinya itu.

“Saya tak boleh beritahu berapa jumlah kos untuk menghasilkan drama ini. Cukuplah saya katakan belanjanya lebih besar dari slot yang JS Pictures terbitkan sebelum ini.

“Drama ini bukan sahaja menggunakan kamera yang bagus, malah kita perlu membayar lebih kepada setiap pelakon untuk menghasilkan lakonan yang berkualiti.

“Selain itu, drama ini juga menggunakan banyak kesan khas untuk menampakkan halusinasi,” jelasnya.

Mengenai pemilihan genre seram kali ini, dia yang sebelum ini pernah menerbitkan drama Anak Betong dan Cucu Betong itu berkata, sebab mahu menukar persepsi penonton mengenai syaitan dalam drama itu.

“Syaitan memang wujud cuma nak tukar persepsi penonton tentang kewujudannya itu, ia perlu berbalik kepada iman seseorang itu,” ujarnya.

Drama bersiri 13 episod yang akan bersiaran pada setiap Khamis, pukul 9.30 malam itu turut membariskan pelakon handalan lain seperti Fizz Fairuz, Rozie Rashid, Zamarul Hisham, Lisdawati dan Razak Ahmad.

Artikel Lain