suria

Cinta Antara Kau, Aku Dan Dia

ADAMAYA mengisahkan cinta tiga segi.
ADAMAYA mengisahkan cinta tiga segi.
ADAMAYA mengisahkan cinta tiga segi.

SLOT Akasia terbaru, sebuah drama komedi romantik pasti mencuit hati penonton dengan gandingan mantap Lisa Surihani dan Hussein Ruffedge dalam ADAMAYA yang telah bersiaran mulai 6 April lalu, setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 6.30 petang.

Drama moden dan ceria sebanyak 23 episod ini adalah inspirasi daripada filem popular “I’m Not Single” turut membariskan para pelakon handalan lain seperti Faizal Yusup, Diana Amir, Dian P.Ramlee, Mustapha Kamal, Hafizudin, Hamidah Wahab, Puteri Mardiana dan ramai lagi.

ADAMAYA diterbitkan oleh MIG Production Sdn Bhd dan hasil nukilan menarik oleh Feroz Kader, manakala Zarihah Hassan bertanggungjawab dalam penulisan skrip.

Cerita yang berkisar kepada sebuah perkahwinan yang dirancang keluarga, namun cinta sejati menuntut pengorbanannya. Begitulah yang terjadi terhadap Adam, 24, lakonan Hussein dan Maya, 21 tahun (Lisa Surihani).

Adam berkelulusan undang-undang namun cenderung kepada fotografi. Manakala Maya, ialah pelajar universiti tahun kedua dalam bidang insurans.

Keluarga Maya mengambil keputusan untuk mencarikan suami yang dapat menjaganya kerana mereka terpaksa bekerja di luar negara selama lima tahun.

Adam pula menurut kehendak ibu bapanya kerana tidak mahu menghampakan mereka, manakala Maya pada mulanya membantah kerana telah mempunyai kekasih hati, Dani (Faizal Yusup) tetapi setelah dipujuk oleh ibubapanya, dengan alasan yang kukuh, dia akhirnya bersetuju.

Walaupun tiada perasaan cinta, Adam sebagai suami telah bertindak bijak untuk mencari titik persamaan yang menyatukan mereka. Mereka mula bercinta dan dikurniakan seorang anak.

Selepas lima tahun, percintaan mereka menghadapi dugaan tatkala Maya digoda kembali oleh Dani. Adam mula berjauhan dengan Maya untuk mengejar impiannya dan ini membuatkan mereka sering bergaduh. Adakah Maya akan menyedari tiada cinta yang lebih tulus selain dari cinta suaminya?

Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu bakar memberitahu bahawa drama ini membawa mesej berkaitan institusi kekeluargaan.

“ADAMAYA mengisahkan perkahwinan di usia muda, di mana memerlukan komitmen yang tinggi dan tanggungjawab serta persefahaman sesama pasangan.

"Pihak TV3 terasa terpanggil untuk menyerap nilai kesedaran yang tinggi betapa pentingnya untuk mempertahankan mahligai perkahwinan dan institusi kekeluargaan itu sendiri.

"Kami berharap mesej-mesej yang terdapat dalam drama siri ini mendapat sambutan penonton di samping memberi hiburan yang terbaik. Sesebuah drama yang berkualiti bukan sahaja menghiburkan malah dapat membuka minda para penonton,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ameng Direman Tiga Hari

Artikel Lain