suria

Seniman Ambil Berat Isu Aktor Popular Miliki Dadah RM650,000

PETALING JAYA: Presiden Seniman Harun Salim Bachik memberitahu yang pihak Seniman akan mengambil tindakan susulan berhubung isu artis popular yang ditahan reman kelmarin.

Pelakon popular yang pernah memenangi anugerah terbaik TV dan juga anak kepada aktres veteran terkenal kini ditahan reman kerana disyaki memiliki 850 gram kokain dan 1.4 gram syabu dengan nilai rampasan kira-kira RM650,000.

Aktor berusia 31 tahun itu ditahan di kondominium mewahnya di Jalan Segambut pada Khamis.

Dalam serbuan tersebut, polis menemui makmal membuat dadah dan peralatan untuk memproses dan membungkus dadah.

Pelakon itu dicekup bersama teman wanitanya berusia 24 tahun di tapak meletak kereta di kondominium tersebut pada pukul 2.30 pagi Khamis setelah polis mendapat maklumat tentang aktivitinya daripada orang ramai.

“Kami sedang berusaha untuk menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Seniman akan memberi sokongan moral kepada keluarga pelakon tersebut. Kes ini di luar bidang kuasa Seniman.

"Bukan kami tidak mahu bantu kes jenayah tapi kami tidak mahu dilihat sebagai menggalakkan perkara-perkara begini," kata Harun ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Kang Chez Chiang ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

Kata beliau, pelakon itu ditahan reman selama tujuh hari mulai Jumaat di Balai Polis Bukit Jalil bersama teman wanitanya.

"Jika disabit kesalahan, mereka boleh dihukum gantung. Namun bukan senang untuk menjatuhkan hukuman itu kerana mereka perlu dibicarakan di mahkamah.

"Setakat ini, kami akan melakukan siasatan terlebih dahulu sebelum mengemukakan keterangan yang diberikan kepada Timbalan Pendakwaraya.

"Semuanya bergantung kepada Timbalan Pendakwaraya untuk memutuskan kes tersebut," beritahunya kepada mStar Online.

Difahamkan pelakon tersebut sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia 4 tahun dan kekasihnya itu, telah disahkan positif methamphetamine ketika melakukan ujian air kencing.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu pelakon ini mempunyai gaya hidup mewah dan pernah memiliki sebuah kereta Porsche dan tinggal di sebuah penthouse kondominium mewah di Seri Hartamas.

Artis tersebut mungkin akan berhadapan hukuman gantung mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Sepanjang lima tahun ini, hampir 300 kes penyalahgunaan dadah membabitkan penggiat hiburan tanah air telah dilaporkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain