suria

Kecik, Idlan dan Alex Di Gelanggang Akhir

GELANGGANG akhir Raja Lawak 4 pada malam Ahad ini bakal menyaksikan kemaraan dua wakil Sabah, Kumpulan Kecik dan Alex serta seorang wakil Kedah, Idlan beradu nasib untuk bergelar Raja Lawak musim ini.

Kemaraaan mereka meninggalkan Kumpulan Mamu yang tersingkir setelah mendapat undian terendah, 19.8 peratus di persaingan separuh akhir, kelmarin.

Persaingan di separuh akhir (Minggu 9) menyaksikan persaingan semakin sengit dan pola undian yang tidak dapat diramal di kalangan peserta.

Keputusan malam separuh akhir, kelmarin menyaksikan Kumpulan Kecik mengungguli kedudukan dengan 29.3 peratus, Idlan (25.7), Alex (25.2).

Menyentuh mengenai pentas akhir Raja Lawak 4, Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, musim ini bakal menampilkan kelainan daripada hadiah hinggalah ke mutu persembahan.

Untuk julung kalinya, ketiga-tiga finalis bakal membawa pulang hadiah utama sumbangan Naza Motors, selain wang tunai.

"Untuk musim ini, semua finalis akan pulang dengan hadiah yang merupakan kereta dan motosikal.

"Juara bakal pulang dengan kereta Naza Sorento dan naib juara pula bakal mendapat kereta Naza Optima. Manakala, pemenang tempat ketiga bakal membawa pulang sebuah motosikal Naza Blade 250CC.

"Selain hadiah tersebut, para finalis juga bakal mendapat wang tunai RM14,000 untuk juara Raja Lawak, RM11,000 (naib juara) dan RM8,000 (tempat ketiga).

"Pihak Astro juga bakal menyajikan kelainan pada malam akhir nanti. Kita akan tampilkan gimik persembahan yang berbeza dan istimewa yang bermatlamatkan untuk mengangkat martabat lawak di mata orang ramai.

"Mungkin selama ini, persembahan lawak sering dianggap remeh dan bertaraf rendah, tapi menerusi gimik istimewa di pentas akhir nanti, kita akan cuba berikan persembahan berbeza yang boleh mengubah persepsi dan menyuntik imej lebih besar pada program Raja Lawak.

"Apa bentuk persembahannya kita belum boleh umumkan lagi. Tunggu dan lihat di malam akhir nanti. Yang pasti, ia adalah sesuatu yang segar dan berbeza daripada persepsi klise masyarakat tentang lawak selama ini," hurainya panjang lebar.

Kumpulan Kecik, Alex dan Idlan akan menampilkan dua persembahan yang masih dirahsiakan format dan temanya.

Kata Nizam, tugasan akhir hanya akan dipaparkan dalam Ceritera Raja Lawak, Jumaat ini.

"Finalis akan mempersembahkan dua bentuk sketsa mengikut tema yang akan diberikan dalam minggu ini juga.

"Tapi, kita tidak dapat uar-uarkan sekarang sebab ingin berikan kejutan. Tugasan pertama para finalis akan disiarkan dalam Ceritera Raja Lawak, Jumaat ini.

"Manakala tugasan satu lagi hanya diberikan beberapa jam sebelum pentas akhir bermula. Tujuannnya adalah untuk menguji kemampuan mereka untuk membuat persembahan secara spontan dalam tempoh persiapan yang terhad," kata Nizam lagi.

Diminta mengulas mengenai penyingkiran Kumpulan Mamu, Nizam berkata, penyingkiran kumpulan dari Utara itu bukan disebabkan mereka tidak bagus cuma nasib kurang menyebelahi undian mereka.

"Bagi saya, Mamu tersingkir secara bermaruah. Mereka adalah antara kumpulan yang konsisten sejak awal lagi.

"Mungkin para pengundi berbelah bagi apabila melihat peningkatan pada persembahan Idlan minggu ini hingga melupakan Kumpulan Mamu. Apa pun, Mamu keluar bermaruah," ujarnya.

Konsert akhir Raja Lawak 4 bakal berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam jam 9 malam selama satu setengah jam.

Sebelum itu, program bakat lawak ini akan mula bersiaran secara langsung setengah jam lebih awal untuk satu program khas, Karpet Lawak pada jam 8.30 malam.

Artikel Lain