suria

Shah Jaszle, Shera Suka Sama Suka

Shah akui menyukai Shera tapi bimbang cintanya ditolak. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Shah akui menyukai Shera tapi bimbang cintanya ditolak. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Shah akui menyukai Shera tapi bimbang cintanya ditolak. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH

MEREKA saling mengelak dan cuba menyembunyikan status sebenar hubungan yang mekar terjalin itu sebelum ini. Walaupun kedua-duanya tidak menafikan saling rapat dan serasi bersama, namun baik Shah mahupun Shera, kedua-duanya enggan hubungan 'mesra' itu digembar-gemburkan untuk tujuan publisiti.

Aktor siri Tari Tirana, Shah Jazle, 22, mengakui dia menyenangi karakter gadis yang berasal dari Ipoh, Perak itu. Sejak mereka semakin rapat, kira-kira lima bulan lalu, Shah tertarik dengan personaliti unik dan berbeza yang dimiliki oleh Shera.

"Jujurnya, saya senang dan selesa dengan personaliti Shera yang tegas dan berani, namun masih kuat dengan ciri-ciri feminin.

"Shera seorang gadis yang aktif, naif, berdikari dan senang untuk didampingi. Apa yang paling menarik, walaupun dia nampak macam 'gila-gila' dan ceria, Shera sebenarnya seorang gadis yang tegas dan berprinsip.

"Contohnya, apabila dia tidak setuju dengan sesuatu perkara itu, dia akan tegas dengan keputusannya.

"Jika dia tidak suka, memang dia tidak akan ubah fikiran dan begitulah sebaliknya. Sikap tegasnya itu amat saya senangi.

"Malah, dia juga seorang yang mengutamakan karier dan keluarga, yang mana ianya sangat bagus pada saya," katanya.

Apabila ditanya mengenai status sebenar mereka, Shah hanya tergelak dan cuba untuk mengelak daripada memberi ulasan lanjut. Katanya, memadai jika dia mengakui dia memang menyukai gadis itu tetapi masih sedang mendalami hati budi masing-masing.

"Saya selesa bersama Shera. Dia jujur dan terbuka dalam berkawan serta tidak mengambil kesempatan.

"Memang saya sukakannya tetapi malu untuk luahkan perasaan saya terus kepadanya. Saya takut dianggap gelojoh atau dia menolak cinta saya," ujarnya berseloroh.

mStar Online lantas menghubungi Shera bagi mendapatkan versi jawapannya mengenai hubungan 'mesra' mereka. Menurut Shera Aiyob, 24, yang juga personaliti TV3 ini, biarlah hubungan rapat yang terjalin dengan aktor Shah Jazle itu berjalan secara semulajadi tanpa perlu dihebah-hebahkan.

"Memang saya rapat dengan Shah tapi belum sampai ke tahap bercinta. Kami baru kenal beberapa bulan dan memerlukan masa untuk lebih mengenali diri masing-masing. Biarlah ia berjalan secara sendirinya dan bukannya dirancang," kata Shera.

Bukan dia mahu merahsiakannya daripada mana-mana pihak, cuma pengalaman lalu banyak mengajar hos program kapsul, My TV3 ini agar lebih berhati-hati apabila membicarakan soal cinta dan hubungan.

"Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas lanjut tentang hubungan saya dengan Shah. Tapi memandangkan cerita ini pun semakin tersebar, lebih baik saya berkongsi saja cerita sebenar.

"Saya akui memang rapat dengan Shah sejak beberapa bulan lalu. Kami kerap keluar bersama tetapi bukan berdua-duaan. Biasanya kami akan keluar bersama kumpulan rakan yang lain sekali.

"Saya senang dengan sikapnya yang penyayang, mengambil berat dan berbudi bahasa. Apabila dia bercakap, dia sangat menjaga tutur kata dan kelakuannya. Dia ikhlas dan menghormati saya.

Diminta mengulas mengenai status sebenar keakraban mereka, Shera menambah, dia memang menyukai dan selesa berdamping dengan jejaka yang berasal dari Kg. Baru, Kuala Lumpur itu.

Malah, ujarnya lagi, dia tidak keberatan untuk menyambut cinta Shah jika keadaan mengizinkan di hari muka.

"Memang saya suka dengan Shah tapi kami sedang mengenali hati budi masing-masing. Bila masa yang sesuai sudah tiba, mungkin kami akan bercinta di masa akan datang, tapi yang pastinya bukan sekarang," kata hos sambilan program bual bicara Wanita Hari Ini di TV3 ini sambil disambut hilai tawa.

Menariknya, walaupun Shah dan Shera masih berteki-teki dan enggan mengesahkan percintaan mereka, banyak mata di luar sana yang sudah beberapa kali terserempak dengan pasangan ini keluar berdua sambil berpimpin tangan dengan mesra.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Amy Winehouse Ketagihan Kasut

Artikel Lain