suria

Mas Idayu Dipilih 'Mentor' Lagi Sebab Kontroversi?

Mas Idayu sekali lagi terpilih sebagai mentor untuk musim keempat. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Mas Idayu sekali lagi terpilih sebagai mentor untuk musim keempat. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH
Mas Idayu sekali lagi terpilih sebagai mentor untuk musim keempat. - Foto The Star oleh AZLINA ABDULLAH

MASIH mengekalkan krew, produser dan pengacara yang sama, Mentor Musim Keempat kembali menghiburkan penonton setia TV3.

Program yang menampilkan Ally Iskandar sebagai pengacara ini bakal dikeudarakan mulai 11 April depan, setiap Ahad, pukul 9 malam.

Mas Idayu juga dikekalkan antara enam mentor program itu. Cuma barisan mentor lain yang merupakan wajah baru Mentor adalah selebriti Ziana Zain, Azmeer, Mus (May), Joe Flizzow, dan Dayang Nurfaizah.

Menjawab tentang membawa masuk semula bekas mentor musim ketiga, penyanyi dangdut Mas Idayu, Penerbit Eksekutif dan Penerbit Mentor 4, Muhamad Sufian Isa berkata komitmen yang diberikan oleh Mas membuatkan wanita itu terpilih.

Sebelum ini, Mas telah menggilap bakat juara Mentor 3 iaitu Black yang sedang popular dengan lagu Aku Rindu Sayang Kamu.

“Kami harap Mas Idayu dapat menghasilkan bakat bagus yang lain seperti Black. Kami juga tidak menafikan kontroversi yang dicetuskan sebelum ini sedikit-sebanyak telah mempengaruhi pemilihan Mas dalam Mentor 4.

“Tetapi yang penting adalah komitmen yang diberikan olehnya hingga kami berusaha juga untuk memujuknya sehingga bersetuju untuk sekali lagi menggalas tugas sebagai mentor dalam program ini,” beritahunya.

Dalam pada itu, Mas berkata tidak salah untuk dia mencuba sekali lagi. Lantas sebab itu dia mengambil masa yang tidak terlalu lama untuk bersetuju menerima tawaran itu.

“Saya menghargai TV3 kerana sudi memujuk dan memberikan peluang kepada saya. Pada mulanya saya enggan menerima tawaran ini kerana takut dipandang serong lagi,” jelas penyanyi Senggol-Senggolan ini.

Menurut Sufian, enam mentor ini terpilih mengikut kualiti tersendiri seperti mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian dan berkaliber sebagai tenaga pengajar.

Setiap mentor akan mengajar seorang protégé sahaja mengikut kriteria yang diingini dan semestinya berusia antara 18 hingga 25 tahun, warganegara Malaysia serta tidak terikat dengan sebarang kontrak.

Azmeer mencari protégé yang boleh menyanyi, mempunyai suara yang sedap tanpa mengira rupa paras.

Mus menginginkan protégé lelaki atau perempuan, boleh menyanyi dengan baik, lebih diutamakan adalah bergenre rock, mempunyai karektor yang disukai ramai tanpa mengira rupa paras.

Joe pula tidak mencari seorang rapper sebaliknya mahukan penyanyi yang boleh menyanyi lagu R&B, berbakat, boleh menyanyi, menghayati lagu dan menari.

Ziana berkata dia memfokuskan kepada kriteria protégé yang benar-benar berbakat, boleh menyanyi dan menari, ‘bertelinga kebal’ dan menepati masa.

Mas memilih protégé yang boleh menyanyikan pelbagai rentak lagu termasuk dangdut dan asli tanpa mengira jantina lelaki atau wanita.

Dayang memfokuskan protégé yang versatil, boleh menyanyi pelbagai genre muzik, berdisiplin tinggi, serius dalam nyanyian, sentiasa ingin memajukan diri dan bonus bagi yang pandai bermain gitar atau piano.

“Pihak kami berpendapat pemilihan peserta Mentor kali ini lebih sistematik kerana peserta boleh menjalani ujibakat berdasarkan penyanyi kegemaran pilihan masing-masing.

“Dari situ mentor dapat melihat sejauh mana kebolehan dan kualiti yang dimiliki seseorang itu memandangkan mereka yang akan bertanggungjawab mengasah bakat protégé yang menjadi pilihan mereka itu nanti,” kata Sufian ketika majlis memperkenalkan enam mentor baru-baru ini di Sri Pentas, TV3.

Sesi ujibakat Mentor 4 akan bermula pada 21 Februari sehingga 21 Mac ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Dua destinasi di Malaysia Timur akan dilakukan secara berasingan iaitu di Promenade Hotel, Kota Kinabalu (21 Februari) dan Merdeka Palace, Sarawak (28 Februari).

Seterusnya, ujibakat Mentor akan berlangsung di Sri Pentas, TV3 dimulai dengan mentor pertama Ziana Zain pada 6 Mac, Mas Idayu (7 Mac), Mus May (13 Mac), Azmeer (14 Mac), Joe Flizzow (20 Mac) dan Dayang Nurfaizah (21 Mac).

Peserta yang menghadiri ujibakat harus membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta membawa minus one lagu-lagu yang akan dipersembahkan kepada mentor pilihan mereka.

Artikel Lain