suria

Tom, Apiz, Sarah Tak Sabar Beraksi Di Pentas Akhir My Starz LG 3

Tiga finalis bertuah (dari kiri) Tom, Apiz dan Sarah bakal berentap di pentas akhir My Starz LG 3, malam Ahad ini di PWTC. - Foto The Star oleh M. AZHAR ARIF
Tiga finalis bertuah (dari kiri) Tom, Apiz dan Sarah bakal berentap di pentas akhir My Starz LG 3, malam Ahad ini di PWTC. - Foto The Star oleh M. AZHAR ARIF
Tiga finalis bertuah (dari kiri) Tom, Apiz dan Sarah bakal berentap di pentas akhir My Starz LG 3, malam Ahad ini di PWTC. - Foto The Star oleh M. AZHAR ARIF

PERJALANAN program realiti nyanyian, My Starz LG musim ke-3 tiba ke kemuncaknya dengan menempatkan tiga bakat muda Raja Farah Afzal (Tom), Muhamad Hafidz (Apiz) dan Maisarah Ismail (Sarah) bersaing di pentas akhir pada malam Ahad ini, jam 9 malam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pertandingan akhir yang berlangsung selama satu jam setengah itu bakal menyaksikan kesemua finalis menyampaikan dua buah lagu setiap seorang.

Meskipun Tom dilihat mempunyai kelebihan tersendiri dengan pengalaman beraksi di pentas nyanyian seperti Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Hollywood dan Suara Jati Malaysia berbanding Apiz dan Sarah, namun dia tidak menafikan perasaan berdebar untuk beraksi di pentas akhir.

"Saya berdebar sebenarnya tetapi tidak sabar untuk beraksi di final. Walaupun saya pernah menyertai pertandingan nyanyian yang lebih besar sebelum ini, tetapi ia tidak membuatkan saya memandang remeh persaingan di pentas akhir nanti.

"Ini merupakan pertandingan yang bakal menentukan hala tuju dan peluang saya untuk kembangkan bakat dalam bidang nyanyian dan dikenali ramai," ujar ibu kepada Megat Ariel Shakur yang berusia dua tahun ini.

Sementara itu, peserta tunggal lelaki Apiz pula menganggap peluang berentap di pentas akhir sebagai sesuatu yang sangat menggembirakannya kerana impian untuk ke pentas akhir tercapai akhirnya.

"Saya bersyukur dan gembira sangat kerana dapat melangkah ke pertandingan akhir. Impian saya tercapai juga akhirnya tapi perasaan gemuruh memang ada.

"Apa pun, saya akan cuba buat yang terbaik bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk semua pengundi yang memberi sokongan sepanjang saya berada dalam pertandingan ini," jelas Apiz yang menyertai pertandingan ini untuk mengubah nasib keluarga.

Lain pula ceritanya dengan Sarah yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor. Padanya, peluang beraksi di pertandingan akhir adalah sesuatu yang mengujakan.

Tambah Sarah, dia tidak pernah mempunyai pengalaman berada di pertandingan realiti sebelum ini.

Sambil menyifatkan peluang emas ke pentas akhir ini sebagai sesuatu yang baru dan menggembirakan, Sarah tidak sabar untuk menampilkan persembahan sehabis baik di pentas akhir nanti.

"Saya sangat teruja dapat beraksi di pertandingan besar seperti My Starz LG.

"Ia satu pengalaman baru yang amat bernilai kerana saya tidak pernah ada pengalaman dengan pertandingan realiti sebelum ini.

"Saya tidak sabar untuk buat persembahan pada malam Ahad ini," katanya yang menyifatkan penyertaan dalam program ini sebagai platform terbaik untuk mengenalpasti bakat seni dalam dirinya.

Malam akhir My Starz LG musim ini bakal menyaksikan gema irama rock, pop dan irama Malaysia yang dipersembahkan oleh ketiga-tiga finalis.

Tom yang lebih cenderung kepada genre rock bakal mempersembahkan rangkaian medley lagu-lagu popular kumpulan Search dan Bunkface, Isabella dan Situasi. Tom memilih vokalis kumpulan May, Mus sebagai duetnya menerusi lagu Senja Nan Merah.

Apiz pula memilih medley Suci Dalam Debu (Iklim) dan Terharu (Jamal Abdillah) untuk lagu solo. Memilih teman duet, Tia Jinbara, mereka akan mempersembahkan lagu popular kumpulan itu, Patri dan Farhana.

Melangkapkan persaingan, Sarah akan tampil dengan medley lagu Bunga-bunga Cinta (Misha Omar) dan Senggolan-senggolan (Mas Idayu). Untuk persembahan duet pula, Sarah bakal bergandingan dengan Adam untuk lagu Penawar Rindu.

Malam kemuncak Ahad ini akan digamatkan dengan persembahan pembukaan daripada artis undangan, Jaclyn Victor dengan lagu tema pertandingan, Gemuruh.

Lebih eksklusif, penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza dan penyanyi hebat dari Indonesia, Krisdayanti turut memeriahkan pentas akhir dengan lagu duet mereka, Amarah.

Artikel Berikut

Artikel Lain