suria

Hans Tunggu Surat Rasmi Daripada AC Mizal

Hans Isaac bersama pelakon utama Cuci The Musical iaitu Afdlin Shauki, AC Mizal dan Awie.
Hans Isaac bersama pelakon utama Cuci The Musical iaitu Afdlin Shauki, AC Mizal dan Awie.
Hans Isaac bersama pelakon utama Cuci The Musical iaitu Afdlin Shauki, AC Mizal dan Awie.

BERITA baik bagi pasukan Cuci The Musical apabila teater muzikal itu akan dipentaskan semula di Istana Budaya (IB) pada pertengahan tahun depan.

Bagaimanapun, ia pasti memberikan satu tanggungjawab besar untuk penerbit eksekutif dan pelakon Hans Isaac dalam memastikan Cuci The Musical yang dipentaskan buat kali kedua ini lebih baik daripada sebelumnya.

Demi kejayaan Cuci, Hans berkata dia berjanji akan melakukan peningkatan dari segi urusan produksi, lawak, jalan cerita dan lagu.

“Selepas Cuci selesai dipentaskan, saya mendapat banyak permintaan daripada orang ramai yang ingin teater itu dipentaskan semula kerana mereka tidak sempat menontonnya sebelum ini.

“Dalam masa yang sama, saya juga mendapat keizinan daripada Ketua Pengarah IB Mohamed Juhari Shaarani dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Rais Yatim untuk mementaskan Cuci.

“Sekarang, saya tengah bincang dengan pihak penaja untuk membantu menjayakan teater ini kerana ia suatu projek yang sangat besar.

“Saya dan pasukan akan baiki semua aspek dari segi hiburan seperti lawak, lakonan, dan emosi yang dirasakan sukar untuk dilakukan dalam tempoh hampir tiga jam itu.

Menyentuh tentang pelakon, Hans yang mengilhamkan teater ini daripada filem Cuci berkata, dia cuba untuk mengekalkan barisan pelakon yang sama.

“Buat masa sekarang, saya cuba untuk mengambil pelakon yang sama tetapi kita tidak boleh halan jika ada pelakon yang mempunyai komitmen lain.

“Dalam 80 peratus pelakon yang sudah mengesahkan mereka akan berlakon dan yang selebihnya saya akan umumkan dalam minggu ini,” jawab pelakon yang masih solo dan menjadi rebutan ramai wanita ini.

Semasa pementasan teater muzikal itu, pelakon AC Mizal didakwa tidak berdisiplin dan kurang memberikan kerjasama untuk Cuci The Musical.

Sejak dari itu, hubungan Hans dan AC Mizal dikhabarkan agak tegang. Malah, baru-baru ini AC Mizal juga memberitahu yang dia tidak akan berlakon di bawah produksi Hans lagi.

Ketika meminta pengesahan Hans berhubung isu ini, dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung hal itu kerana belum mendapat apa-apa surat rasmi daripada pengacara program AC? Itu.

“Saya tak boleh beri apa-apa jawapan kerana kenyataan itu dikeluarkan di surat khabar dan sehingga kini saya belum terima surat rasmi daripadanya lagi.

“Bagi pihak pasukan Cuci, saya hanya mengambil kira apa-apa yang rasmi,” ulasnya yang belum berkesempatan untuk bertemu dengan AC Mizal kerana sibuk dengan hal masing-masing.

Pada Isnin lalu, Hans baru pulang dari bercuti di Chiang Mai dan selepas ini merancang untuk menyelam di Tawau, Sabah seterusnya ke Taiwan untuk sebuah festival filem sebelum memulakan kerjanya.

Cuci The Musical akan masuk Singapura?

Dalam perkembangan lain, Hans juga berkata Cuci The Musical akan dipentaskan di Esplanade, Singapura tidak lama lagi.

“Saya sedang berunding tarikh sebelum membawa masuk Cuci ke Singapura.

“Bagi saya, projek ini bukan sesuatu yang mudah kerana Cuci melibatkan set yang besar sedangkan Esplanade tidak mampu memuatkan semuanya.

“Tetapi pasukan kami memang teruja untuk ke sana. Bagaimanapun, kita akan pastikan teater ini bersesuaian dengan budaya dan adab masyarakat di Singapura,” akhirinya yang telah memikirkan lima hingga enam projek untuk dilakukan pada 2010.

Antaranya adalah dua projek filem iaitu filem Rejang dan Ramli serta perniagaan membekalkan ayam mentah kepada sebuah syarikat.

Artikel Sebelum

Waheeda Kini Berpurdah

Artikel Lain