suria

Pengarah Filem Seram 'Mantra' Sahkan Dia Takut Hantu

FILEM Mantra yang berdasarkan sebuah kisah benar dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada Julai 2010 telah difilemkan di lokasi yang "keras".

Pengarah filem tersebut, Azhari Zain juga mendakwa, semua mantera yang diucap dalam filem itu memang wujud.

Filem itu akan dibintangi oleh Zul Handy Black, Hasnul Rahmat, Ana Dahlia, Azim, Hamdan Ramli, Mon Ryanti dan Mas Muharni.

“Sebelum menulis skrip untuk filem itu, kami telah mendapatkan mantera dari pengamal ilmu hitam dari Jawa.

“Ini adalah untuk tidak memperdayakan para penonton kelak dan bertujuan menyingkap rahsia mantera dan cara-cara menyihir orang lain,” kata Azahari dalam satu temu bual Rabu lalu semasa majlis doa selamat untuk filem Mantra di pejabat MIG Metrowealth, Subang Jaya.

Walaupun begitu, keseluruhan mantera itu tidak dibacakan kerana dikhuatiri akan disalahgunakan.

Pengarah itu akui, beliau takut untuk menonton filem-filem hantu sejak menonton filem ‘Anak Pontianak’ ketika berumur sembilan tahun.

“Memang saya takut untuk menonton filem-filem seram dari kecil, malah saya hanya menonton filem-filem hantu dari Korea dan Jepun pada siang hari sahaja untuk membuat kajian.

“Semasa David memaklumkan yang beliau mahukan saya untuk mengarah filem seram, saya pada mulanya teragak-agak.

“Tetapi David berkata kalau saya berjaya mengarah filem seram, maka saya dapat mengatasi perasaan takut saya.

“Oleh itu saya menyahut cabarannya dan membuat keputusan untuk mengarah filem ini,” jelas Azhari.

Secara ringkasnya, filem Mantra yang diterbitkan oleh MIG Production Sdn.Bhd, mengisahkan penggunaan ilmu hitam kerana dendam dan kepentingan diri sendiri.

Ceritanya bermula apabila Muzir (Zul Handy Black) dianiya oleh Hasbi (Hasnul Rahmat) demi melengkapkan ilmu hitam serta untuk mendapatkan isteri Muzir. Akibatnya Muzir dipenjarakan seumur hidup.

Dipenjara, Muzir dibantu oleh Pak Long (Hamdan Ramli) iaitu seorang warden penjara untuk memadamkan ayat-ayat serta kalimah Allah disekitar penjara tersebut dengan menggunakan ilmu sihir. Tujuannya adalah untuk membebaskan diri dari penjara dan membalas dendam.

Sementara itu, Azhari juga menambah, jalan cerita untuk filem Mantra ini berdasarkan kisah benar yang berlaku kepada salah seorang pekerja David Teo, penerbit filem ini.

Dan semasa penggambaran filem ini, pengarah berumur 37 tahun ini mengaku akan sentiasa membawa beberapa orang ustaz bersama memandangkan lokasi penggambarkan seperti Penjara Pudu dan sebuah perkampungan pencil di Lenggong, Perak yang memang 'keras'.

“Sebagai seorang pengarah, saya perlu melindungi kru-kru saya kira-kira 50 orang dari anasir-anasir jahat seperti jin atau hantu.

“Malah saya juga membekalkan sebotol minyak wangi yang telah dijampi supaya mereka tidak didekati oleh benda-benda halus.

“Penggambaran di Penjara Pudu telah siap dilakukan dan penggambaran di Lenggong akan dimulakan pada bulan Disember ini,” akhiri Azhari.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain