suria

Dua 'Dunia' Redza Minhat

Redza Minhat bekerja sebagai penganalisa pelaburan dan dalam masa yang sama menceburi bidang seni secara separuh masa. -foto The Star oleh ABDULLAH SUBIR
Redza Minhat bekerja sebagai penganalisa pelaburan dan dalam masa yang sama menceburi bidang seni secara separuh masa. -foto The Star oleh ABDULLAH SUBIR
Redza Minhat bekerja sebagai penganalisa pelaburan dan dalam masa yang sama menceburi bidang seni secara separuh masa. -foto The Star oleh ABDULLAH SUBIR

ADA yang sudah lama mengenali Redza Minhat di pentas teater. Tidak kurang juga baru mengenali Redza melalui filem pertamanya, 'Pisau Cukur' yang sedang ditayangkan di pawagam tempatan.

Namun begitu, nama Redza juga mula dihambat kontroversi apabila gosip gambar bogelnya tersebar di internet. Redza berkata dia hanya tergelak dan tidak risau kerana gambar itu bukan miliknya.

Bagi pemilik nama penuh Shahredza Minhat ini, biarlah orang nak kata apa pun, dia lebih selesa orang menilainya dari segi kerja lakonan dan bakatnya dalam penulisan skrip.

Mungkin juga tidak ramai mengetahui pemuda berasal dari Ayer Tawar, Perak ini bukanlah sepenuh masa berkecimpung dalam industri seni ini sebaliknya dia merupakan seorang penganalisa pelaburan di salah sebuah institusi bank tempatan.

Menurut Redza, tidak salah dia menceburi kedua-dua bidang itu selagi minatnya tidak tenggelam begitu sahaja.

Rupa-rupanya Redza mula menceburi bidang penulisan skrip sejak di bangku universiti dan pernah menggondol anugerah di Festival Teater Malaysia menerusi naskhah pertamanya, 'Tat Nenas'.

Selepas itu, dia menubuhkan syarikat Aroma Teater Works bersama rakan-rakannya dengan menggunakan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 yang diterima semasa Festival Teater Malaysia itu.

Pernah buat teater ‘percuma’

Bercerita mengenai asal Redza mengenali dunia seni, dia pernah membuat teater tanpa bayaran sekitar tahun 2003/2004.

“Saya pernah buat teater ‘percuma’ kerana hanya enam orang datang tengok pementasan kami. Tapi saya tak kisah sebab suka dengan kerja seni,” luah Redza.

Namun begitu, graduan pengajian perniagaan dari Universiti Multimedia Malaysia ini tidak pernah mengaku kalah lantas tidak jemu-jemu memerah idea dan menghasilkan naskhah seperti 'Gadis Jalan Burmah', 'Toast' (ada dijual di kedai buku Kinokuniya) dan terbaru 'I Lost The Plot'.

Redza juga menceburi dunia lakonan menerusi teater pertamanya, 'Otak Tak Center'. Bermula dari situ teater itulah, Redza mengenali pengarah Bernard Chauly.

Selepas itu, Bernard mempelawanya untuk berlakon watak sampingan dalam drama 'Gol & Gincu' dan 'Goda'.

'Bayar dulu, baru kritik'

Biarpun pernah berlakon teater, namun Redza mengaku ada penonton yang kurang berpuas hati dengan lakonannya sebagai Faqir, pemuda yang cuba memikat Bella (Maya Karin).

"Saya tengok banyak kelemahan yang saya lakukan dari segi teknikal dan boleh kata tahap hancur.

“Tapi saya tak 'give up' dan perlu banyak belajar lagi. Mengenai watak Faqir, saya 'approach' skrip seperti orang bercakap dan apa yang saya rasa apabila berada di tempat seorang yang berjumpa dengan wanita kesukaannya.

"Saya suka karektor Faqir yang jujur dan ringkas. Banyak perkara yang saya belajar termasuk menari tarian 'ballroom'," ujar Redza.

Tegas Redza, bukan mudah untuk berlakon di depan kamera lebih-lebih lagi di samping pelakon hebat seperti Maya Karin, Fazura dan Eizlan Yusof.

"Saya rasa sedikit 'nervous' apabila berlakon di samping mereka tapi nasib baik sebelum itu kami dah buat latihan dalam tempoh dua bulan," ulasnya.

Selain menyenangi karya Bernard, Redza turut menggemari karya Afdlin Shauki iaitu filem 'Baik Punya Cilok' dan Khabir Bhatia (Setem).

Redza kesal dengan sikap sesetengah penonton yang prejudis dengan filem Melayu.

Redza juga berharap lebih ramai penonton yang menyokong filem Melayu. Dia juga menekankan, ‘kalau nak industri filem kita maju, penonton kena datang tengok. Dah bayar (tiket) dan tengok, baru ada hak nak kritik filem Melayu’.

Cinta dunia seni dan dunia kira-kira

Menerusi dua kerja yang dilakukan kini, Redza akui dia tidak akan meninggalkan kerjanya sebagai penganalisa pelaburan.

Bagaimanapun, dia akan masih setia dengan kerja seninya selagi termampu. Kata Redza, ‘saya buat bidang kedua (seni) ini bukan sebab suka-suka tetapi sebab betul-betul suka'.

“Saya suka melihat proses menyiapkan hasil produksi dan ‘enjoy’ dengan proses latihan lakonan. Saya juga gemar berkenalan dengan ramai orang kerana dari situ kita akan dapat tahu pendapat ‘semua orang’ tentang ‘semua orang’.

“Bagi saya, kalau kita kata tiada masa, jadi tiadalah masa itu..,” tuturnya.

Biarpun Redza tidak mempunyai asas dalam bidang lakonan, dia tidak jemu mengikuti bengkel teater Shakespeare yang diadakan secara percuma di Menara Duta, Sri Hartamas pada setiap Rabu (8 malam) dan Sabtu (10 pagi). Bengkel itu dikendalikan oleh guru teater Chris Jacob.

“Saya seronok mengikuti bengkel itu kerana kami akan belajar berlakon karya Shakespeare sehingga puas,” kata penggemar filem bergenre komedi termasuk pelakon Harun Salim Bachik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain