suria

Nora Danish Mengaku Tak Profesional, Tak Boleh Berlakon Dengan Fasha

Nora Danish jawab isu tidak profesional dan tarik diri dari drama 'Spa Qistina'. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Nora Danish jawab isu tidak profesional dan tarik diri dari drama 'Spa Qistina'. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Nora Danish jawab isu tidak profesional dan tarik diri dari drama 'Spa Qistina'. -foto mStar oleh SITI AZIRA

INSIDEN menarik diri daripada berlakon drama bersiri ‘Spa Qistina’ akhirnya ‘memakan diri’ Nora Danish.

Pelakon kecil molek itu sendiri mengaku isu tidak profesional dan tidak boleh berlakon dengan Fasha Sandha juga turut dikaitkan dengan dirinya lantas telah memberikan rekod buruk dalam sejarah lakonannya.

Inilah dugaan besar yang terpaksa dilalui oleh Nora sejak berlakon enam tahun lalu selain gagal dalam perkahwinan.

“Saya rasa macam nak demam kerana terkejut dengan situasi sekarang. Saya rasa cerita kontroversi ini sedikit sebanyak mungkin boleh mengganggu konsentrasi saya untuk berlakon dalam filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak 2’ yang akan memulakan penggambaran pada 15 November ini.

“Tetapi harap-harap semuanya berjalan dengan baik,” luahnya yang melakonkan watak Seha dalam filem arahan pengarah, produser dan pelakon Ahmad Idham.

Perasaan bersalah dan terkilan juga bercampur rasa setelah dia melepaskan watak Maya dalam drama ‘Spa Qistina’ yang kini disandang oleh Ummi Nazeera.

Nora berkata walaupun terkilan dengan sikap sambil lewa pihak produksi drama itu dengan membiarkan Fasha hadir ke lokasi penggambaran drama itu sehingga mengganggu konsentrasi lakonannya, namun dia tetap akan bersemuka dengan produser Global Station Sdn Bhd, Datin Zaiton Mohd Jiwa untuk memohon maaf atas insiden yang berlaku itu.

“Sebelum ini saya sudah membuat ‘perjanjian mulut’ dengan Kak Zaiton agar saya tidak dipertemukan langsung dengan Fasha.

“Saya hanya tidak boleh berlakon dalam satu bumbung dengan Fasha kerana tidak mahu timbul kontroversi seperti ini.

“Jadi, saya rasa agak terkilan kerana mereka tidak sepatutnya membuat saya seperti ini.

“Saya telah cuba untuk bersikap profesional tetapi akhirnya emosi lebih mengatasi segala-galanya.

“Tetapi kalau orang persoalkan isu saya tidak profesional, memang dari awal lagi saya sudah rasa saya tidak profesional dengan menetapkan perjanjian untuk tidak mahu bertembung langsung dengan Fasha.

“Tetapi saya tahu, Kak Zaiton mungkin marah dengan saya sebab selepas saya menarik diri, dia langsung tidak menjawab panggilan dan membalas SMS saya yang panjang lebar itu.

“Insya-Allah, saya akan tetap bersemuka dengan Kak Zaiton nanti. Sekarang ini, biarlah saya beri dia masa dulu,” kata Nora.

Pelakon yang popular menerusi drama ‘Puteri’ ini didakwa ‘tidak sebulu’ dengan Fasha sejak wanita itu dikaitkan dalam penceraian dengan bekas suaminya, Rizal Ashram.

Bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang lagi, Nora nekad mengambil keputusan untuk tidak menerima tawaran yang melibatkan dirinya dengan Fasha.

“Kisah lalu masih menghantui diri saya. Jadi selepas ini saya sudah serik dan tidak akan menerima tawaran berlakon melibatkan Fasha kerana tidak mahu menimbulkan masalah kepada produksi.

“Saya tarik diri daripada berlakon merupakan perkara besar dan sukar untuk saya jelaskan perasaan saya waktu itu,” luahnya yang bernasib baik kerana tidak mengikat apa-apa kontrak dengan Global Station sebelum ini dan hanya memulangkan semula cek pertama yang diterimanya selepas melakonkan lebih 40 babak dalam drama itu.

Menurut Nora, dia bersedia untuk bekerjasama dengan Global Station lagi selepas ini jika mendapat tawaran lakonan daripada syarikat itu. Janji asalkan Fasha tidak turut serta.

“Saya tak nak orang benci saya. Saya tahu semua ini berlaku disebabkan salah faham. Saya dah beritahu dan jelaskan kepada anak Kak Zaiton, Adila Datuk Ramly (produser eksekutif) kerana dia yang uruskan semuanya.

“Saya berhubung dengan Adila sebab tak mahu susahkan Kak Zaiton. Hari tu, selepas saya keluar dari lokasi, terus saya hubungi Adila.

“Saya tak puas hati dengan sikap sambil lewa mereka sebab mereka tahu waktu itu lakonan belum selesai, jadi masih sempat untuk mereka maklumkan kepada Fasha supaya tidak datang ke lokasi terlebih awal.

“Tetapi akhirnya saya nampak Fasha datang dan sedang mekap dengan tangannya memegang skrip.

“Selepas itu, tanpa fikir panjang terus saya beritahu pengarah dan Kak Nanu Baharuddin sebelum meninggalkan lokasi dengan perasaan sedih,” cerita Nora dalam nada sayu.

Kesedihan jelas terpancar disebalik riak wajahnya yang putih bersih itu. Walaupun nampak sedih, namun keserian wajah ibu tunggal kepada seorang anak ini tetap terpamer apabila sekali-sekala dia tersenyum.

Artikel Sebelum

Artikel Lain