suria

Riezman cuba watak ‘pondan’ selepas 20 tahun

Riezman melakonkan watak lelaki lembut bernama Adi menerusi drama 13 episod ‘Jodoh Oh Jodoh’. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Riezman melakonkan watak lelaki lembut bernama Adi menerusi drama 13 episod ‘Jodoh Oh Jodoh’. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Riezman melakonkan watak lelaki lembut bernama Adi menerusi drama 13 episod ‘Jodoh Oh Jodoh’. -Foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

MINATNYA sekadar untuk mencuba dan melengkapkan kuota lakonannya sebagai pelakon setelah menceburi bidang seni ini sejak 20 tahun lalu.

Riezman Khuzaimi terpanggil untuk melakonkan watak ‘pondan’ atau lelaki lembut memandangkan ia seakan menjadi trend sesetengah pelakon lelaki zaman sekarang.

Namun, tidak bermakna dia mahu terus ditransformasikan 100 peratus dengan memakai pakaian wanita sebaliknya lebih kepada watak lelaki lembut yang berjiwa wanita.

Riezman melakonkan watak lelaki lembut bernama Adi menerusi drama 13 episod ‘Jodoh Oh Jodoh’ yang akan ditayangkan di Astro Warna mulai 6 Januari depan.

“Dalam cerita itu, saya berlakon sebagai pemilik kafe, Island Red Cafe yang suka mendengar masalah dan berbual dengan lima andartu yang bekerjaya.

“Walaupun berjiwa perempuan, tiba-tiba Adi telah jatuh cinta dengan salah seorang antara lima wanita itu.

“Ini merupakan kali pertama saya berlakon sebagai lelaki lembut. Semua watak saya dah lakonkan sejak 20 tahun lalu.

“Jadi, kali ini saya terfikir untuk membuat kelainan sedikit tetapi saya tidak boleh buat lebih-lebih sangat sehingga menyerupai sifat wanita,” kata pelakon popular drama ini.

Selain drama, Riezman juga pernah berlakon filem seperti ‘Congkak’, ‘Senario The Movie Episode 2: Beach Boys’ (tayang bulan November), ‘Santau’ (Disember) dan ‘Sepi’.

Baginya, bukan mudah untuk melakonkan watak ‘pondan’ walaupun dirinya berminat untuk mencuba watak itu.

“Watak ‘pondan’ memang sengaja dipilih kerana saya merupakan penerbit eksekutif drama ‘Jodoh Oh Jodoh’.

“Jadi, cerita yang saya lakonkan datang dari idea sendiri. Tetapi watak ini memang mencabar tetapi saya cuba mengurangkan rasa kekok itu dengan memerhatikan gaya dan cara berjalan jurusolek artis.

“Insya-Allah, cerita ini akan siap menjalani proses suntingan pada bulan November depan,” katanya yang bekerja di syarikat produksi Endemol South East Asia Sdn Bhd yang bertapak di Holland.

Selain drama ini, syarikat itu juga menerbitkan drama ‘Impak Minima’ yang telah pun disiarkan di Astro Warna serta program realiti ‘Fear Factor’ dan ‘Who Wants To Be A Millionaire’.

Pada tahun depan, Riezman yang juga mempunyai syarikat produksi sendiri, RK Network Resources berkata dia akan memfokuskan kepada penerbitan genre komedi sebanyak 70 peratus manakala yang selebihnya adalah lain-lain genre.

Tempat luah perasaan Qistina

Sekarang ini, Riezman juga sedang menjalani pengambaran drama terbaru ‘Spa Qistina’ yang merupakan sekuel ‘Spa Q’ dan ‘Spa Q 2’.

Dia melakonkan watak doktor psikiatri yang menjadi tempat mendengar luahan perasaan Qistina yang dilakonkan oleh Nanu Baharuddin.

“Saya agak terkejut juga apabila mendapat tawaran berlakon sebagai Doktor Zulfadzli. Walaupun babak saya tak banyak, tetapi saya terima juga sebab ia melibatkan subplot dengan Qistina,” ujarnya.

Jaga anak bila isteri tiada

Seperti yang dilihat, Riezman dan isterinya, pelakon dan Pengurus Besar Endemol, Kartina Ayoob tidak pernah dilanda gosip liar.

Menurutnya, mungkin kerana dia jarang keluar dan sentiasa bersama dengan anak-anak lebih-lebih lagi apabila isteri keluar bekerja.

Hasil perkahwinannya dengan Kartina, mereka dikurniakan dua anak iaitu Afiq Kiranan, 6, dan Ruzain Nars, 1. Dia juga mempunyai anak tiri, Tandiana Batrisya, 14.

“Kebanyakan masa saya hanya untuk keluarga. Apabila isteri saya ke luar negara seperti menghadiri Festival Filem Antarabangsa Cannes di Paris atas urusan membeli produk filem di sana, saya yang akan menjaga anak-anak,” katanya yang telah menjalani pengambaran drama ‘Kau Dan Aku’ selama sebulan di Indonesia sepanjang bulan puasa lalu.

Riezman dan Kartina pernah memasuki pertandingan menari program “Sehati Berdansa’ musim pertama tetapi gagal memasuki peringkat akhir.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain