suria

‘Kecoh Petang Raya.. Lagi!!!’ kurang ‘melalut’ lagi!

Saksikan kisah dan telatah mereka pada esok, 21 September, pukul 6 petang. -foto TV3
Saksikan kisah dan telatah mereka pada esok, 21 September, pukul 6 petang. -foto TV3
Saksikan kisah dan telatah mereka pada esok, 21 September, pukul 6 petang. -foto TV3

MASIH ingat lagikah program muzikal sempena hari lebaran, ‘Kecoh Petang Raya’ yang memaparkan aksi lucu penuh komedi keluarga Pak Salih dan Pak Megat kelam kabut menyudahkan persiapan Hari Raya?

Tahun ini, drama muzikal ini kembali lagi dengan judul ‘Kecoh Petang Raya..Lagi!!! yang masih membariskan watak utama pelakon yang sama cuma ada tambahan dua pelakon baru.

Antara pelakon yang sama ‘membuat kecoh’ dalam program ini adalah Fauziah Ahmad Daud sebagai Kak Moon, Adibah Noor (Kak Tom), Jalil Hamid (Pak Salih), Harun Salim Bachik (Pak Megat), Adi Putra (Adi), Amy Mastura (Seri), Misha Omar (Hanum).

Sementara dua lagi pelakon baru iaitu Siti Sarah (Tuminah atau Mimie) dan Zahid yang menggantikan tempat Lah Ahmad untuk watak Raihan.

Setelah setahun berlalu, apakah yang telah berlaku kepada dua buah keluarga ini? Saksikan kisah dan telatah mereka pada esok, 21 September, pukul 6 petang.

Menurut penerbit, Roslina Abd Rahman atau mesra dengan panggilan Kak Yong, sekuel ‘Kecoh Petang Raya’ kali ini sudah kurang ‘melalut’ berbanding yang pertama dahulu.

“Jika yang pertama dulu, Jalil Hamid banyak tersasar dari ‘guide’ skrip yang diberikan tetapi kali ini tidak.

“Bagaimanapun, kita tetap memberikan kebebasan kepada pelakon untuk membuat dialog sendiri asalkan tidak lari daripada jalan cerita kerana ia bergenre muzikal komedi,” ulasnya.

Roslina berkata kesinambungan ‘Kecoh Petang Raya’ diteruskan dengan menampilkan suasana kehidupan kedua keluarga ini yang tetap menghadapi kekalutan di petang raya.

“Namun kali ini bukan kerana tiada persiapan dibuat sebaliknya perihal anak-anak mereka yang memeningkan kerana berebut untuk pulang beraya di mana kerana masing-masing sudah berumah tangga dan lebih meriah lagi dengan kehadiran watak baru, bidan kerajaan yang gedik lakonan Siti Sarah.

“Atas permintaan ramai, ‘Kecoh Petang Raya..Lagi!!!’ diterbitkan tahun ini dan diharap drama muzikal ini masih mendapat perhatian peminat setia TV3.

“Kecoh Petang Raya..Lagi!!! mengetengahkan pelakon-pelakon yang berbakat, berkebolehan melakonkan watak-watak komedi dan boleh menyanyi,” katanya.

Jalan cerita ‘Kecoh Petang Raya..Lagi!!!’ masih mengekalkan kekecohan dua jiran tetangga yang kini telahpun menjadi besan iaitu keluarga Pak Salih dan Pak Megat.

Kedua-dua anak gadis Pak Megat iaitu Hanum dan Seri telah berkahwin dengan kedua-dua anak lelaki Pak Salih, iaitu Adi dan Raihan.

Walaupun mereka tinggal bersebelahan rumah, tetapi tetap kecoh hendak beraya di rumah orang tua masing-masing pada malam raya.

Keadaan bertambah kecoh apabila orang tua mereka turut campur tangan dalam perbalahan mereka suami isteri.

Kehadiran Tuminah atau Mimie, bidan kampung yang baru bertugas di kampung itu membangkitkan perasaan cemburu oleh Kak Moon dan Kak Tom. Apatah lagi dengan karektor Mimie yang nakal, gedik dan kepoh.

Pak Salih dan Pak Megat sering berkelahi dengan isteri masing-masing yang cemburu setiap kali Mimie datang ke rumah mereka untuk memeriksa kesihatan Hanum dan Seri yang sarat mengandung.

Jalan ceritanya yang komedi menjadi lebih menarik apabila mendapat suntikan lagu-lagu seperti ‘Menjelang Hari Raya’, ‘Yang Mana Satu Idaman Kalbu’ dan ‘Gembira Bersama Di Hari Raya’ yang diubah suai liriknya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain