suria

Hans: Saya tak berniat kecewakan sesiapa

Hans terpaksa menangguhkan hasratnya menerbitkan teater muzikal itu pada awalnya disebabkan masalah kewangan. -foto THE STAR oleh KEVIN TAN
Hans terpaksa menangguhkan hasratnya menerbitkan teater muzikal itu pada awalnya disebabkan masalah kewangan. -foto THE STAR oleh KEVIN TAN
Hans terpaksa menangguhkan hasratnya menerbitkan teater muzikal itu pada awalnya disebabkan masalah kewangan. -foto THE STAR oleh KEVIN TAN

IMPIAN pelakon, pengarah dan penerbit, Hans Isaac untuk menghasilkan 'Cuci' dalam bentuk muzikal akhirnya terlaksana jua apabila Cuci The Musical akan mula dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 23 Oktober hingga 8 November depan.

Menurut Hans, idea untuk menghasilkan teater muzikal ini sudah lama difikirkannya iaitu setelah tampil dengan versi filem arahannya yang ternyata mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Namun, disebabkan oleh faktor kewangan, Hans akui, perkara itu yang membuatkan dirinya sukar untuk merealisasikan impiannya itu.

Dan bersama-sama dengan barisan tenaga kreatif Cuci The Musical yang terdiri daripada Datuk Zahim AlBakri dan Harith Iskander sebagai pengarah bersama, Stephen Rahman-Hughes (koreografer), Raja Maliq (pereka set), Douglas Lim dan Pacai (penulis lirik dan komposer) serta barisan pelakon yang terdiri daripada Hans sendiri, Awie, AC Mizal, Afdlin Shauki, Vanida Imran, Adibah Noor dan Ramli Hassan, Hans berharap projek sulungnya di pentas IB ini mampu membuahkan kejayaan tersendiri.

"Ketika duduk berbincang bersama beberapa rakan seperti Harith Iskander, kami memang terus terfikir untuk tampil dengan Cuci The Musical. Namun, untuk membuat muzikal ini, kena ada bajet yang cukup dan keyakinan yang tinggi.

"Dan saya akui, disebabkan masalah kewangan, saya terpaksa tangguhkan dulu hasrat saya pada awalnya. Tapi saya bersyukur kerana akhirnya teater muzikal ini dapat juga diteruskan.

"Walaupun setakat ini kami masih belum ada penaja utama, tetapi saya tidak melihatnya sebagai satu masalah besar. Secara peribadi, setelah 15 tahun berada dalam industri ini, saya sudah meletakkan usaha dan apa yang saya mampu terhadap muzikal," kata Hans pada sidang media teater muzikal ini di IB, semalam.

Selain barisan pelakon dan produksi, turut hadir pada sidang media itu ialah penaung projek iaitu isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abd.Rahman.

Mengulas lanjut tentang produksi terbitan syarikatnya, Tall Order Productions ini, kata Hans, jalan cerita asal masih dikekalkan. Namun, corak persembahannya akan berbeza memandangkan ia dibuat dalam bentuk muzikal yang akan membabitkan lakonan, nyanyian dan tarian.

Dari segi barisan pelakon juga, kata Hans, selain mengekalkan empat 'tunggak' utamanya iaitu Afdlin, Awie, AC dan dirinya sendiri, Cuci The Musical turut mengetengahkan pelakon-pelakon 'baru' bagi watak-watak yang pernah diwujudkan di dalam filem Cuci sebelum ini.

Namun, tutur Hans, pemilihan pelakon-pelakon tersebut terutamanya Vanida dan Adibah Noor menggantikan watak yang dipegang oleh Erra Fazira dan Umie Aida di dalam versi filem dulu dibuat kerana dirasakan bersesuaian dan mampu memberikan kelainan terhadap teater ini.

"Heroin-heroin kali ini sudah bertukar, begitu juga untuk watak antagonis. Sejujurnya, saya memilih Vanida dan Adibah kerana saya amat menyukai lakonan mereka. Dan pastinya, saya mencari orang-orang yang saya senang bekerja.

"Saya tidak berniat mengecewakan sesiapa dengan pemilihan barisan pelakon baru ini. Saya berharap saya tidak mengecilkan hati sesiapa. Jika ada, saya minta maaf kerana tujuan kami hanyalah untuk 'rebranding' projek ini," tutur Hans yang turut mendapat kerjasama dengan pihak-pihak tertentu.

Ditanya mengapa dia sendiri tidak mengarah teater muzikal ini, sebaliknya memilih Datuk Zahim AlBakri dan Harith Iskander sebagai pengarah bersama, jawab Hans:

"Memang pada awalnya saya ingin arahkan sendiri. Tapi bila melihat tahap yang saya mahukan untuk teater ini, saya rasa agak sukar untuk saya lakukan. Jadi, saya ingin cari orang yang benar-benar tahu tentang teater muzikal.

"Dan saya rasa, Zahim dan Harith adalah pilihan terbaik kerana mereka tahu standard yang macam mana diperlukan untuk teater muzikal. Zahim sendiri sudah terlibat sebagai pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical.

"Begitu juga Harith yang sudah lama terbabit di dalam bidang teater."

Zahim akui pikul tugas mencabar

Walaupun pernah mengarahkan teater muzikal hebat seperti Puteri Gunung Ledang The Musical dan P.Ramlee The Musical, Datuk Zahim AlBakri akui projek kali ini juga bukan calang-calang.

Satu perbezaan yang ketara ialah dari segi genre teater muzikal kali ini yang berbentuk muzikal komedi berbanding sebelum ini yang lebih ke arah kisah percintaan dan biografi.

"Saya gembira kerana dapat bergandingan dengan Harith untuk teater muzikal ini. Saya yakin, Harith ada cara tersendiri untuk memastikan Cuci The Musical ada kelainan.

"Bagi saya sendiri, teater ini juga tidak jauh beza dengan PGL ataupun P.Ramlee, cuma perbezaan utamanya ialah dari segi lagu dan tarian.

"Tapi saya akui, cabaran utama terletak pada reka bentuk set kerana kita ingin tunjukkan adegan mencuci tingkap bangunan," kata Zahim.

Menurutnya, persiapan telah pun bermula sejak Mei lalu terutamanya dari segi penelitian skrip dan muzik.

"Ketika ini, Raja Maliq sudah mula menghasilkan rekaan set. Bermula 19 Ogos lalu, Stephen juga sudah memulakan latihan untuk koreografi dengan 'ensemble' seramai kira-kira 26 orang.

"Dan pada 1 September lalu, kita sudah memulakan latihan dengan pelakon-pelakon utamanya," ujar Zahim.

Secara ringkasnya, Cuci The Musical mengisahkan empat orang adik-beradik iaitu Fairil (Afdlin), Khai (Hans), Jojo (Awie) dan C'Tan (AC) yang menjalankan perniagaan 'Cuci-Cuci Services', sebuah syarikat yang mengendalikan perkhidmatan mencuci tingkap, dengan harapan satu hari nanti syarikat mereka akan diberi peluang untuk memberi perkhidmatan kepada Menara Berkembar Petronas, KLCC.

Harapan mereka menjadi kenyataan apabila Cuci-Cuci Services telah dijemput untuk memasuki pertandingan mencuci tingkap Olimpik (WWO - Window Washing Olympics), sebuah pertandingan yang diselenggara oleh Citi Jasmin atau lebih dikenali sebagai CJ (Vanida) yang mana pemenangnya akan berpeluang mencuci tingkap KLCC.

Dalam mengecapi impian mereka, pelbagai kisah suka dan duka dilalui oleh empat beradik ini.

Tiket-tiket berharga RM43, RM63, RM113, RM153, RM173, RM193, RM213 dan RM253 boleh dibeli di Istana Budaya atau secara online di www.axcess.com.my dan menerusi talian hotline iaitu 03-7711 5000

Tiket-tiket yang dibeli sebelum Hari Raya juga akan mendapat diskaun sebanyak 20 peratus.

Artikel Lain