suria

Wan Raja, Arja Lee terpilih bintangi '...Dalam Botol'

Wan Raja (Ghaus) mendukung Arja Lee (Ruby).
Wan Raja (Ghaus) mendukung Arja Lee (Ruby).
Wan Raja (Ghaus) mendukung Arja Lee (Ruby).

HULU KELANG: Wan Raja dan Arja Lee adalah dua pelakon yang dipilih untuk membintangi filem kontroversi '... Dalam Botol' selepas undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan dalam talian dibuat dari 27 Julai hingga 17 Ogos lalu.

Wan Raja atau nama sebenarnya adalah Saiful Redzuan Abu Bakar, 31, akan memegang watak Ghaus manakala Arja Lee (Azharudin Ramli), 25, watak Ruby.

Nama dua pelakon tersebut diumumkan oleh syarikat penerbitan JAS Sdn. Bhd.dalam majlis pelancaran filem '... Dalam Botol' dan pengumuman pelakon watak Ghaus dan Ruby di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), malam tadi.

Menurut penerbit filem tersebut, Raja Azmi, dia akur dengan keputusan yang dibuat oleh orang ramai walaupun pelakon pilihannya adalah Norman Hakim dan Adi Putra.

"Nampaknya selera saya dan orang ramai adalah berbeza. Pun begitu, saya menerima Wan Raja dan Arja Lee kerana kedua-dua mereka adalah pilihan majoriti.

"Saya akan pastikan mereka bersedia melakonkan watak tersebut dengan baik," katanya ketika ditemui selepas majlis itu selesai.

Menurut Raja Azmi, dia akan cuba sebaik mungkin untuk melamar pengarah Othman Ali dan Nasir Jani bagi menjayakan projek terbarunya itu.

Enam nama sebelum ini telah disenaraipendekkan dari hampir 3,000 penyertaan. Tiga untuk watak Ghaus (lelaki) iaitu Norman Hakim, Fauzi Nawawi dan Wan Raja. Manakala tiga lagi yang tersenarai untuk merebut watak Ruby (perempuan) ialah Adi Putra, Kefli AF3 dan Arja Lee.

Walaupun hanya seorang akan dipilih untuk watak masing-masing, mereka yang tidak terpilih berkemungkinan besar akan menjayakan watak-watak lain dalam filem itu.

Komen pelakon

Sementara itu, Wan Raja menyifatkan pemilihannya sebagai Ghaus merupakan satu kejutan bagi dirinya.

"Saya masih tidak percaya.. Ini adalah satu tanggungjawab dan harapan orang ramai terhadap saya. Saya tidak akan menghampakan mereka yang mengundi saya, penerbit dan pengarah," katanya.

Wan Raja berkata, sejak dicalonkan dalam Top 5, dia telah banyak membuat penyelidikan untuk menyesuaikan dirinya menjadi seorang lelaki sejenis (homoseksual).

"Apa yang patut saya buat? Persediaan sebegitulah yang cuba saya keluarkan semasa sesi penggambaran nanti," katanya.

Dalam pada itu, pemegang watak Ruby, Arja Lee berkata: "Alhamdulillah... terdapat sedikit perasaan 'wow'. Terima kasih atas undian semua pihak. Saya dah bersedia untuk menimba satu pengalaman baru dalam filem pertama saya.

"Saya akan buktikan orang baru seperti saya turut boleh menyumbangkan tenaga," katanya yang suka menyanyi, menari dan berlakon.

Graduan Universiti Sains Malaysia dalam bidang lakonan dan pengarahan teater tahun pertama itu meminta masyarakat agar membuka minda untuk mengenali golongan transeksual.

Sinopsis

Ruby atau nama sebenarnya Rubidin dan Ghaus merupakan pasangan bercinta sejenis. Kerana terlalu mencintai Ghaus, Rubidin sanggup berkorban mengubah identitinya kepada Ruby.

Bukan calang-calang pengorbanan yang dilakukan Ruby, identiti dirinya diubah menerusi satu pembedahan jantina.

Namun, perhitungan Ruby itu telah salah kerana Ghaus tidak dapat menerimanya dalam keadaan fizikal seperti seorang wanita sekali gus menyingkir kan Ruby dari hidupnya.

Keadaan bertambah sulit apabila hormon lelaki dalam tubuh Ruby kembali menyerlah dan dia ingin kembali menjadi seorang lelaki. Malah Ruby mula jatuh cinta dengan seorang gadis yang baik budi.

Namun Ruby sedar jasadnya bukan lagi seperti seorang lelaki tulen kerana dia telah membuang alat sulitnya dan hidup bertuhankan nafsu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain