suria

Jurey syukur ‘Libas’ difilemkan selepas 6 tahun

Jurey (kiri) ketika menjalani pengambaran filem 'Libas'. -foto MDAG
Jurey (kiri) ketika menjalani pengambaran filem 'Libas'. -foto MDAG
Jurey (kiri) ketika menjalani pengambaran filem 'Libas'. -foto MDAG

KARYA filem ‘Libas’ terperam sejak 2002 dan baru tahun 2009 ia boleh difilemkan setelah mencukupi bajet.

Begitulah kenyataan yang dibuat oleh pengarah dan produser Jurey Latiff Rosli yang pada mulanya ingin menerbit dan mengarahkan filem berlatarkan sukan sepak takraw ini namun terhalang akibat masalah kewangan.

Bagaimanapun, mujurlah ada syarikat produksi, MDAG Sdn. Bhd. yang berminat untuk menjadi penerbit bersama filem itu selain Jurey.

Dengan bermodalkan RM1.9 juta, filem ini akhirnya telah siap menjalani pengambaran dan kini sedang menjalani proses pasca produksi serta memasukkan sistem Imej Janaan Komputer (CGI) yang ditampilkan hampir 80 peratus itu.

“Lepas enam tahun menunggu, alhamdulillah saya berjumpa dengan MDAG Sdn. Bhd. melalui kawan saya.

“Terima kasih kerana memilih ‘Libas’ untuk menjadi filem pertama syarikat itu dan filem pertama arahan saya.

“Saya yakin filem ini akan mencetuskan satu revolusi baru dalam industri filem tempatan,” kata Jurey dalam nada gembira.

Menurutnya, cetusan idea dan skrip filem ini mula dirangka sejak tahun 2002 bersama sahabatnya, Martias Mohd. Ali.

Tambahnya, sejak awal lagi Jurey sudah menetapkan yang dia mahu mengambil pelakon Rosyam Nor untuk memegang watak Raja Libas seperti digambarkan.

“Rosyam sentiasa dalam gambaran saya walaupun skripnya sudah disediakan sejak lebih enam tahun lepas.

“Walaupun orang menggelarkan Rosyam sebagai ‘hero tua’, saya tetap nak ambil dia.

“Saya juga kagum dengan sifat dan prinsip yang ada pada Rosyam kerana dia sanggup menghabiskan pengambaran filem ini walaupun doktor memberikan cuti sakit selama enam minggu akibat kecederaan di tulang bahu kirinya.

“Itu yang membuatkan dia berjaya dalam hidupnya,” puji Jurey.

Jelas Jurey, dia mahukan Rosyam memikul watak utama dalam filem yang telah menjalani pengambaran selama 35 hari di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur itu atas sebab tertentu.

“Rosyam dari dulu hingga sekarang sentiasa di hati saya. Mengikut karisma dalam cerita ini, dia digambarkan sebagai seorang yang tidak berkemampuan kerana dulu dia tua, tidak larat dan dalam dilema,” jawab Jurey yang juga aktif sebagai pengarah drama.

Filem ini bergenrekan komedi aksi yang turut menyerap sedikit elemen dalam filem Hong Kong, ‘Shaolin Soccer’.

“Saya memilih genre komedi aksi untuk menghiburkan orang. Inilah yang saya cuba ketengahkan iaitu hiburan berbentuk sukan bagi orang yang dahagakan sukan sepak takraw.

“Dalam genre itu, hanya 16 peratus elemen cinta melibatkan Adnan lakonan Rosyam dan bekas tunangnya, Ratna (Scha).

“Kita tidak terlalu eksploitasikan genre cinta tetapi lebihkan kepada lawak universal dan tak main lawak slapstik.

“Lima kali saya draf skrip dan rombakan lebih tiga kali dilakukan untuk mencantikkan filem ini.

“Saya akui sebab kekurangan dana juga membuatkan kita mengalami masalah untuk mencapai suasana babak yang diperlukan seperti yang digambarkan dalam skrip,” luahnya.

Selepas ‘Libas’, Jurey juga dalam persediaan untuk mengarah filem ‘Halilintar’ yang berlatarkan seni budaya silat yang akan dimulakan selepas raya nanti.

MDAG anjur pertandingan sepak takraw promosi ‘Libas’

Setelah hampir sedekad menerbitkan drama dan dokumentari untuk televisyen, MDAG Sdn Bhd kini mengorak langkah ke hadapan dengan penerbitan filem cereka pula.

MDAG telah menerbitkan beberapa cereka menarik, di antaranya ‘Terima Kasih Cikgu’, ‘Mustika’, ‘Mana Kek Siti’, ‘Alief Danial’, ‘Kamus Hati’, ‘Skrip’, ‘Ku Lagu Cinta Bisu’, ‘Main Pondok’, ‘Bomoh Misah’, ‘Buah Hati Ummi’ dan ‘Psikik’.

"Syarikat MDAG ditubuhkan pada tahun 1999 telah menerbitkan drama, telefilem, iklan TV, dokumentari TV.

“Setelah genapnya 10 tahun penubuhan MDAG, kami melangkah selangkah lagi, iaitu menerbitkan filem cereka sulung kami...LIBAS" kata Pengarah Urusan MDAG Marketing Sdn Bhd dan produser filem Libas, Mohamed Azlan Ghazali.

Libas mengisahkan tentang Adnan, Raja Libas (Rosyam Nor) yang sudah tidak boleh beraksi lagi di gelanggang sepak takraw kerana kakinya telah ditempangkan oleh regu Thailand yang terdiri dari Propchai (Adam Corrie, bekas koreografer Akademi Fantasia), Pratapol (Yus Waisar) dan Ak Nangkhon (Zek Zamri Gerak Khas) serta Topap dalam satu perlawanan tahun sebelumnya.

Merasa bersalah kerana telah memberikan kemenangan mudah sehinggakan tekongnya mati diracun dengan bola ke dada, Adnan kini cuba membentuk regu baru. Pencarian Raja Libas itu telah membawa kepada penemuan Hamidi (Johan Raja Lawak) seorang pemuda bandar yang mempunyai skil menimbang bola dan Ku Mok (Fadzly Kamarulzaman) seorang lelaki gemuk yang mempunyai tandukan tajam dan berbisa, selain Ratna (Scha). Bagi melengkapkan pasukan, maka Megat (Beego) telah menawarkan diri, tanpa disedari bahawa Megat telah diupah oleh pasukan dari Thailand bagi mensabotaj pasukan negara.

Sedutan filem Libas ini juga boleh disaksikan dengan melayari www.mdag.com.my.

Penerbit Libas, MDAG Sdn Bhd juga berhasrat untuk mengadakan satu pertandingan sepak takraw terbuka secara besar-besaran sebagai salah satu acara promosi filem dan sukan ini dengan kerjasama Persatuan Sepaktakraw Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) di seluruh negara, dengan peringkat akhir perlawanan akan di adakan di ibukota Kuala Lumpur pada tiga bulan sebelum filem ini ditayangkan.

Nantikan filem ‘Libas’ di pawagam pada Julai 2010!

Artikel Lain