suria

Naib Juara 'Gadis Melayu' Aishah pernah digelar 'Melayu murtad' semasa di sekolah

Aishah merupakan naib juara Gadis Melayu musim pertama. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Aishah merupakan naib juara Gadis Melayu musim pertama. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Aishah merupakan naib juara Gadis Melayu musim pertama. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

NUR Aishah Zainal adalah gadis biasa yang anda temui di jalanan dua atau tiga tahun lalu. Dia tidak bertudung dan pernah dipersendakan sebagai 'Melayu murtad' oleh kawan-kawan rapatnya kerana kefasihannya bertutur dalam bahasa Mandarin.

Selepas menyertai program realiti hiburan 'Gadis Melayu' musim pertama pada tahun lalu, Aishah tampil hari ini seorang ikon gadis Melayu. Lebih membanggakan, dia ialah naib juara Gadis Melayu musim pertama.

Menurut Aishah, dia menerima 'hidayah' daripada Yang Esa sewaktu mengikuti sesi keagamaan oleh Datuk Ustazah Nurbaiyah dalam program realiti tersebut.

"Dia bagi 'lecture' pada minggu kelima.. tiba-tiba, saya berasa terpanggil untuk memakai tudung. Ibu, kakak dan adik perempuan saya memang bertudung kecuali saya pada masa itu.

"Ibu saya memberikan kelonggaran kepada saya. Dia kata, "you can decide when you are ready"," kata Aishah ketika menjadi pengacara bersama sesi pengenalan 12 peserta Gadis Melayu musim kedua di Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam.

Malah kata Aishah, kawan-kawannya pun terkejut dengan penampilan barunya yang bertudung. "Ada yang kata, saya kelihatan lebih jelita tanpa bertudung.

"Saya kini lebih selesa bertudung. Jika jiwa tak kuat, saya memang akan terdorong untuk tidak memakai tudung," ujarnya yang fasih berbahasa Mandarin, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Gadis Melayu yang cantik ini berkata, dia menguasai bahasa Mandarin kerana pernah belajar di Pei Fong Primary and High School, Melaka atas permintaannya sendiri.

"Entahlah.. saya suka mendengar sebutan bahasa Mandarin sewaktu kecil. Di sekolah, rakan-rakan sekolah Cina memanggil saya 'Melayu murtad'," katanya sambil tergelak.

Lebih melucukan, kata Aishah, dia memperolehi 6A dan 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Ibu mengingatkan Aishah jangan melupakan bahasa ibunda sendiri iaitu Bahasa Melayu," kata Aishah yang berharap dapat menjadi pembaca berita Mandarin di kaca televisyen.

Sejak menjuarai 'Gadis Melayu', Aishah beransur-ansur menerima tawaran berlakon malah lamaran!

Aishah berkata, dia terpaksa melepaskan satu peluang berlakon dalam drama kerana sibuk dengan kerjanya sebagai pembantu khas kepada Setiausaha Politik, Kementerian Pelajaran.

"Ibu menggesa saya berkahwin cepat kerana dia menerima risikan daripada pelbagai pihak," katanya sambil mengukir senyuman manis.

Bagaimanapun, Aishah, 24, menyasarkan berkahwin apabila mencecah usia 27 tahun tetapi akur jodoh terletak di tangan Tuhan.

"Saya tidak menginginkan lelaki pilihan saya mempunyai rupa, harta ataupun status. Cuma keserasian. Aishah hakikatnya seorang yang sangat manja dan harap si dia faham," tuturnya lemah-lembut.

Memandangkan kakak dan abangnya telah berkahwin, Aishah terasa 'bahang' desakan ibu bapanya untuk mempunyai pasangan hidup.

"Bagaimanapun, saya tidak akan tergesa-gesa untuk mencari teman hidup kerana ia adalah keputusan seumur hidup," katanya yang merupakan anak keempat daripada lapan adik-beradik.

Artikel Lain