suria

Selesema tidak halang Emeer juarai Oo La La

Mohd. Emeer Mohd. Bakri menjuarai konsert akhir 'Oo La La' musim pertama. foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT.
Mohd. Emeer Mohd. Bakri menjuarai konsert akhir 'Oo La La' musim 
pertama. foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT.
Mohd. Emeer Mohd. Bakri menjuarai konsert akhir 'Oo La La' musim pertama. foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT.

SHAH ALAM: Selesema yang berlarutan hampir seminggu tidak menghalang Mohd. Emeer Mohd. Bakri menjuarai konsert akhir 'Oo La La' musim pertama yang berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Sabtu lalu.

Penyanyi cilik tetapi berbakat besar ini memberikan persembahan memberangsangkan dan melantunkan vokal menarik sekali gus mengetepikan cabaran Nor Shahida Jamaludin (Sha) dan Amira Syahida Mohd. Husin.

Dengan kemenangan itu, Emeer membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 manakala pemenang tempat kedua, Sha (RM20,000) dan Amira (RM10,000).

"Saya menghidapi selesema sejak Isnin lalu dan telah berjumpa doktor. Bermacam-macam ubat-ubatan saya makan dan saya masih tidak sembuh-sembuh.

"Bagaimanapun, saya lupakannya sewaktu berada di pentas untuk memberikan persembahan terbaik pada malam ini," kata Emeer pada sidang akhbar selepas konsert tersebut berakhir.

Suara Emeer tersekat-sekat menjawab pertanyaan wartawan kerana hidungnya berhingus. Malah, penampilan bertenaga Emeer di atas pentas dan suara lunaknya berjaya menyembunyikan kesihatan sebenarnya.

Menurut Emeer, dia akan menabung wang tunai kemenangannya untuk kegunaan pada masa depan.

Konsert akhir 'Oo La La' menyaksikan setiap finalis dipertanggungjawabkan untuk menyanyikan tiga buah lagu dalam bentuk solo, berduet bersama ahli keluarga dan artis jemputan.

Emeer menyanyikan lagu 'Sampai Syurga' secara solo, berduet bersama bapanya menerusi lagu 'Syair Laila Majnun / Gadis Melayu' dan berduet bersama Lan MUH melalui lagu 'Patah Hati'.

Walaupun berusia 14 tahun, Emeer membawakan lagu solo itu seperti dendangan Faizal Tahir - penyanyi asal lagu 'Sampai Syurga' manakala dia serasi bergandingan bersama Lan MUH.

Salah seorang juri 'Oo La La' pada malam itu, Atilia berdiri sambil memberikan tepuk sanjungan kepada Emeer atas persembahan luar biasanya.

Sorakan gemuruh penonton menggamatkan dewan. Pemenang kedua, Sha juga tidak kurang hebatnya. Dia menyajikan lagu-lagu tradisional seperti Lagu Nirmala / Kurik Kundi / Dikir Puteri untuk segmen solo dengan menarik sekali.

Koreografi tariannya begitu menyerlah.

Sha berduet bersama bapa saudara, Aris Ariwatan menerusi 'Mantera Beradu / Alhamdulillah' dan persembahnya memuncak ketika berduet bersama Misha Omar melalui lagu 'Cinta'.

Juri 'Oo La La', Azmeer mengulangi reaksi rakan setugasnya, Atilia sebelum itu dengan memberikan tepuk sanjungan kepada Sha.

Bagi Sha: "Saya cuba membuat yang terbaik. Alhamdulillah, saya berjaya menggondol tempat kedua.... saya tidak kecewa kerana mungkin saya tidak ada rezeki dalam konsert akhir ini."

Sementara itu, Amira mengalunkan lagu solo 'Izinku Pergi', berduet bersama ibu, Alina ('Lagu Jiwa Lagu Cinta') selain duetnya bersama Ezlynn ('Just Dance') merancakkan tempo persembahannya pada malam itu.

Amira berkata, dia amat gembira berjaya melangkah ke peringkat akhir program 'Oo La La'.

Sementara itu, penonton di studio dan di rumah dapat menyaksikan persembahan hebat juara Mentor musim ketiga iaitu Black (Hanifah Md.

Hanafiah), juara Mentor musim kedua, Fiq (Mohd. Firdaus Abd. Halim) dan juara Mentor musim pertama, Pija (Norafizah Mohd. Yasin). Di peringkat akhir ini, format pengiraan undi dikekalkan kepada 50 peratus khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 50 peratus dari juri profesional yang dilantik untuk mengikuti perkembangan para peserta dari minggu ke minggu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain