suria

Fasha enggan komen isu ditampar 'Minah Salleh'

Fasha enggan memberikan komen tentang kisah panas terbarunya berhubung babak 'tampar-menampar'
Fasha enggan memberikan komen tentang kisah panas terbarunya berhubung babak 'tampar-menampar'
Fasha enggan memberikan komen tentang kisah panas terbarunya berhubung babak 'tampar-menampar'

SATU demi satu kontroversi terus singgah dalam diri pelakon jelita ini. Sebut saja nama Fasha Sandha, pastinya ramai yang lebih memikirkan tentang 'kisah panasnya' berbanding perjalanan seni yang diharungi hampir lapan tahun itu.

Bagi tuan empunya diri, dia sudah cukup kalis dengan segala kata-kata buruk yang dilemparkan kepada dirinya. Dicop sebagai 'diva', pemusnah rumahtangga, sering bertukar kekasih, malah tidak ketinggalan isu diboikot media kerana bersikap 'kekwat' sudah cukup sebati dengan Fasha.

Menerusi perbualan telefon dengan aktres berusia 25 tahun itu baru-baru ini, Fasha akui, segala yang terjadi sebenarnya sedikit sebanyak telah membuatkan dirinya lebih matang dalam mengharungi hidup.

Dalam nada perlahan, pelakon sensasi ini berkata:

"Saya sedar saya banyak buat kesilapan dalam hidup saya dan saya terima apa yang berlaku. Cerita-cerita seumpama itu bagi saya, akan datang dan pergi. Selagi rezeki saya masih ada dan karier mampu bertahan, itu sudah cukup baik untuk saya.

"Cerita negatif tentang saya tidak pernah habis. Cuma saya tetap bersyukur, biarpun dilanda pelbagai dugaan, masih ada pihak yang terus membuka ruang untuk saya berada dalam industri ini.

"Malah, sudah banyak media juga yang turut memanggil saya untuk mengadakan sesi fotografi sempena Hari Raya nanti," kata Fasha yang baru selesai menjalani penggambaran filem 4 Madu arahan Prof. Madya A.Razak Mohaideen.

Belum pun reda isu-isu negatif tentang dirinya termasuklah kisah tentang perancangan perkahwinannya dengan jejaka 'misteri' yang pernah diuar-uarkan oleh Fasha tidak lama dulu, timbul pula kisah baru mengenai babak 'tampar-menampar' antaranya dengan seorang wanita asing di Hartamas, baru-baru ini.

Fasha ketika itu dikatakan menaiki sebuah kereta mewah yang dipandu oleh seorang anak VIP terkenal. Namun, kereta itu dikatakan hampir melanggar beberapa wanita Minah Salleh sewaktu pemandunya cuba mengundurkan kereta.

Insiden itu telah membuatkan seorang daripada wanita tersebut memarahi pemandu terbabit, namun keadaan mula kecoh apabila Fasha dikatakan melenting dan mengeluarkan kata-kata bongkak serta terus menolak wanita itu sehingga wujudnya aksi tampar-menampar di situ.

Kejadian itu bagaimanapun berjaya dileraikan apabila seorang lelaki datang ke 'lokasi' tersebut dan terus meminta Fasha dan 'temannya' itu meninggalkan tempat terbabit.

Diajukan tentang perkara ini, Fasha bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

"Saya tak mahu komen tentang hal ini. Bagi saya, bercakap tentang perkara ini hanya membuang masa. Apa saja kenyataan yang saya buat, orang pasti bercakap macam-macam juga.

"Jadi, saya rasa biarlah masyarakat buat penilaian sendiri. Apa saja persepsi yang mereka letakkan, saya terima kerana sejujurnya, saya tidak mahu lagi melayan isu-isu remeh seperti ini," tegas Fasha.

Umum bakal suami September ini

Tatkala rancak berbual tentang perkembangan terbarunya, sengaja isu perkahwinannya turut dibangkitkan apatah lagi terlalu banyak cerita tentang cintanya diperkatakan setelah dia membuat pengakuan akan mendirikan rumahtangga kemungkinan pada awal tahun depan.

Ada juga yang mendakwa pelakon ini sebenarnya telah pun berkahwin. Namun, bagi Fasha sendiri, dia lebih senang untuk terus mengunci mulut tentang perkara tersebut termasuklah siapa pilihan hatinya itu.

Di dalam sebuah akhbar tidak lama dulu, Fasha mengaku akan bertunang pada September ini dengan seorang ahli perniagaan dan menafikan bakal suaminya itu ialah duda mahupun suami orang.

Fasha turut menafikan dia mempunyai hubungan dengan hartawan, Datuk Shafik Rizaal Saaban, atau Datuk S serta Rizal Ashram Ramli, yang juga merupakan bekas suami pelakon, Nora Danish.

"Saya memang tidak mahu lagi bercerita tentang perkahwinan...belum tiba masanya untuk saya bercakap mengenai hal itu. Lagipun, kekasih saya juga tidak mahu saya terlalu bercerita tentang perkahwinan kami.

"Insya-allah, saya akan adakan sebuah sidang media ringkas pada bulan September ini untuk rakan-rakan media dan kenalan rapat. Di situ nanti saya akan cerita tentang majlis perkahwinan kami itu.

"Buat masa ini, biarlah orang terus berteka-teki siapa lelaki itu dan bila tarikhnya. Tetapi, ingin saya tegaskan di sini, meskipun saya tidak dedahkan siapa kekasih saya, itu tidak menghalang kami untuk keluar 'dating' seperti biasa.

"Kami tetap berpegangan tangan...pergi menonton wayang bersama. Saya tidak pernah menyembunyikan hubungan kami," ujar Fasha yang menambah persiapan sempena majlis bersejarahnya itu masih lagi di peringkat awal.

Tangguh belajar di NIDA, Sydney

Jika diikutkan kepada perancangan, kata Fasha, dia sepatutnya berangkat ke Sydney, Australia pada bulan lepas untuk melanjutkan pelajaran di dalam bidang perfileman di National Institute of Dramatic Art (NIDA).

Namun, hasratnya itu terpaksa ditangguhkan seketika setelah mendapat tawaran oleh Prof Razak untuk membintangi filem 4 Madu bersama pelakon-pelakon lain seperti Saiful Apek dan Rozita Che Wan.

"Saya sudah memohon untuk sertai kursus pendek di sana selama setahun dan memang sepatutnya saya ke Sydney bulan lalu. Bukan merajuk atau apa, tetapi memang sudah lama saya simpan impian untuk sambung pelajaran. Tetapi tak sangka pula Prof Razak menawarkan saya untuk berlakon filem terbaru arahannya.

"Melihat kepada skrip filem itu yang menarik, akhirnya saya terima tawaran tersebut. Lagipun, saya memang sudah biasa bekerja dengan Prof Razak. Selepas tamat penggambaran itu, saya terus pula mendapat tawaran untuk beberapa buah drama lain seperti Cinta Di Pintu Barzakh arahan Murali dan sebuah projek filem.

"Jadi, memikirkan tawaran yang masih ada, saya rasa lebih baik saya tangguh dulu hasrat saya untuk ke sana," kata Fasha yang ketika ini boleh disaksikan menerusi filem Skrip 7707 yang sedang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia.

Artikel Lain