suria

Doakan yang baik-baik, jangan buruk sangka, kata ibu saudara Ida Nerina

MALANG TIDAK BERBAU....Aktres terkenal Ida Nerina terjatuh dari tangga rumahnya dan kini sedang dirawat di hospital
MALANG TIDAK BERBAU....Aktres terkenal Ida Nerina terjatuh dari tangga rumahnya dan kini sedang dirawat di hospital
MALANG TIDAK BERBAU....Aktres terkenal Ida Nerina terjatuh dari tangga rumahnya dan kini sedang dirawat di hospital

BUKAN sahaja terguris, malah ada sedikit marah yang berbekas di dalam hati sewaktu pengarah Rohani Yusoff mendengar khabar angin tentang punca anak saudaranya, aktres terkenal Ida Nerina terjatuh.

"Saya pun hairan macam mana boleh timbul spekulasi yang bukan-bukan tentang Ida," jelas Rohani yang baru sahaja kembali melawat Ida di hospital sejurus mendengar kecelakaan yang menimpa Ida kelmarin.

Ida terjatuh ketika menaiki tangga di ruang tamu di dalam rumahnya di Persiaran Syed Putra, Kuala Lumpur dan mengalami kecederaan tulang belakang.

Disebabkan insiden yang tidak disangka-sangka itu, Ida terpaksa menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) lewat malam Ahad.

Menurut Rohani, pada mulanya dia terkejut mendengar spekulasi yang kononnya Ida 'dipukul'.

"Teruknya...saya macam tak percaya sampai begitu sekali orang boleh bercakap pasal Ida. Elok saja saya tengok Ida dan suaminya di hospital tu. Panggil darling lagi..," kata pengarah teater yang dikagumi itu.

Kata Rohani lagi, segala dakwaan tentang Ida dipukul suami, Shahrin (bekas anggota Blackrose) adalah karut dan tidak benar sama sekali. Dia juga menafikan desas-desus yang berkata Ida akan 'lumpuh' setelah insiden jatuh itu.

"Cubalah doa yang elok-elok sikit dan jangan buruk sangka. Tidak baik macam tu. Kalau kita asyik cakap perkara begitu, ia seperti satu doa pula," kata aktres teater yang disegani ini.

Tambahnya lagi, "Kalau dah jatuh teruk, kenalah rehat lama sikit. Ida sudah melalui operasi dan doktor telah letak 8 skru dan 2 plate untuk membetulkan tulang belakangnya.

"Ida perlu berehat lama....tapi tak adalah sampai lumpuh. Saya dulu pun pernah jatuh, sampai 6 bulan saya tidak boleh jalan dengan baik," kata Rohani yang bersyukur kesihatan Ida bertambah baik kini.

Rohani berkata, "Jangan risau....keadaan Ida sudah bertambah stabil dan dia sedang berehat."

Doktor juga telah menasihatkan Ida untuk berehat sekejap daripada kerja. Jadi, dia akan menarik diri dari berlakon teater 'The Good Body'. Ida juga tidak dapat menjadi juri pertandingan filem pendek 'BMW Shorties.

Ida, yang sememangnya cergas orangnya pernah mengambil bahagian dalam program realiti, 'The Amazing Race Asia 3" pada November lalu dengan kawan baiknya, Tania Khan.

Pasangan ini mendapat tempat ketiga dan mendahului pasangan lain pada mulanya tetapi terkandas pada masa genting apabila mereka terlepas penerbangan ke Phuket, destinasi akhir bagi 'The Amazing Race Asia 3'.

Kali terakhir melihat aksi Ida di kaca TV ialah di saluran Astro di mana Ida merupakan salah seorang pengajar di Akademi Fantasia musim ke-7 dan senang digelar 'Ida Gorgeous' oleh murid-murid kesayangannya.