suria

Gandingan Lan, Shaheizy, Cat hidupkan JPBC

Gelagat tiga pemuda ini setelah mendapat tahu diri mereka boleh menjelma sebagai orang minyak, hantu raya dan toyol
Gelagat tiga pemuda ini setelah mendapat tahu diri mereka boleh menjelma sebagai orang minyak, hantu raya dan toyol
Gelagat tiga pemuda ini setelah mendapat tahu diri mereka boleh menjelma sebagai orang minyak, hantu raya dan toyol

MEMANG cukup terhibur menyaksikan gandingan tiga pelakon utama yang menerajui filem komedi seram, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC) arahan Ahmad Idham iaitu Lan Pet Pet, Shaheizy Sam dan Cat Farish.

Meskipun berbeza karektor dan personaliti, penulis merasakan kombinasi tiga pelakon ini berjaya menghidupkan jalan cerita filem terbitan MIG Production ini yang bakal ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh Malaysia bermula pada 4 Jun.

Malah, ujar Idham, dia sendiri memang sengaja mencari karektor tiga pelakon yang berbeza agar dapat menampilkan kelainan dari segi elemen komedinya.

Lan dengan lawak 'slapstiknya', Shaheizy si mamat 'blur' dan Cat yang tampil dengan imej hip-hop ternyata mampu menggeletek hati penonton!

Secara ringkasnya, JPBC mengisahkan tentang tiga orang pemuda iaitu Johan, Asmat dan Punai yang menerima surat daripada Pak Sudir, seorang yang sangat kaya dan dikatakan memelihara saka.

Pak Sudir telah meninggal dunia dan menerusi surat tersebut, dia berhasrat untuk menyerahkan harta pusakanya kepada ketiga- tiga pemuda itu yang sebenarnya adalah cucu kepada Pak Sudir walaupun mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan tidak pernah bertemu Pak Sudir.

Ketika masih hidup, Pak Sudir tinggal dengan seorang pembantu, Mustika (Lisa Surihani), seorang yang cukup misteri.

Namun, sebelum ketiga-tiga pemuda ini dapat mewarisi harta Pak Sudir, mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di dalam wasiat iaitu mereka perlu menginap di rumah Pak Sudir selama tiga malam berturut-turut dan tidak dibenarkan menyentuh apa-apa barang di rumah tersebut, terutamanya sebuah congkak usang.

Mereka akhirnya terjumpa juga congkak yang dimaksudkan dan terpandang belakang congkak itu yang kemudiannya telah mengubah hidup mereka. Tanpa disedari, mereka bertiga akan bertukar menjadi orang minyak, toyol dan hantu raya pada waktu malam dan menimbulkan kekecohan di kampung tersebut.

Turut menjayakan filem ini ialah Azlee (Senario), Zarina AF, Dina, Den Wahab dan Mus Muharni.

Jika melihat kepada judul filem ini, pasti ramai yang beranggapan JPBC merupakan gabungan kepada dua buah filem seram arahan Idham sebelum ini iaitu Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

Namun, gabungan judul itu hanya 'gimik' oleh Idham yang sememangnya tidak ada kena-mengena dengan dua buah filem tersebut...sekadar salah satu strategi untuk 'memancing' penonton ke pawagam.

Pada keseluruhannya, apa yang menariknya dengan filem ini ialah unsur komedi yang diterapkan di dalam penceritaannya.

Jika sebelum ini, Mamat Khalid ada acuan tersendiri menerusi filem komedi seramnya, Zombie Kampung Pisang, begitu juga dengan Idham yang tampil dengan caranya pula.

Tetapi jangan mengharapkan mesej yang hebat untuk disampaikan di dalam filem ini. Selain hanya tentang saka, JPBC lebih menekankan kepada elemen humor saja.

Dan pada pengamatan penulis, apa yang digarapkan oleh Idham ini memang menghiburkan, dipadankan pula dengan 'lawak' Lan, Shaheizy dan Cat.

Keberkesanan lakonan juga turut dilihat pada bintang muda, Lisa Surihani yang membawakan watak Mustika. Penulis belum pernah melihat Lisa dengan karektor seperti itu sebelum ini, namun aktres ini nampaknya berjaya keluar dari 'kepompongnya'.

Kemunculan Shaheizy di dalam filem ini juga tidak menghampakan. Pelakon yang kini semakin 'laku' ini memang nampak 'kena' dengan watak 'blur' yang dibawanya itu.

Watak tersebut sepatutnya dilakonkan oleh Pierre Andre, tetapi akhirnya atas masalah-masalah tertentu, rezeki memihak kepada Shaheizy.

Pada pendapat penulis, JPBC mempunyai tarikan tersendiri untuk memikat penonton ke pawagam. Mungkin barisan pelakon yang diketengahkannya dilihat 'biasa-biasa' saja, namun apa yang pasti, Idham tidak pernah 'gagal' memasang percaturan tersendiri untuk berjaya.

Lihat saja sambutan hebat filem Syurga Cinta arahannya yang melepasi jangkaannya sendiri sehingga berjaya mengaut RM1.3 juta dalam masa seminggu. Dan tidak mustahil jika percubaan pertama Idham dengan genre filem komedi seram ini juga akan berjaya!

Artikel Sebelum

Artikel Lain