suria

Ngasri sebak 'lepaskan' Darling

Ceria...Darling dan Nur Azlin kini sah bergelar suami isteri - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Ceria...Darling dan Nur Azlin kini sah bergelar suami isteri - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT
Ceria...Darling dan Nur Azlin kini sah bergelar suami isteri - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

BERGENANG mata Ngasri Sain, 59, tatkala menceritakan betapa gembira hatinya sebagai seorang bapa melihat anak perempuannya, Darling Ngasri kini sudah bergelar isteri.

Akui Ngasri, perasaan sedih itu memang sukar ditangkis dalam dirinya apatah lagi aktres dan produser itu adalah anak yang paling rapat dengannya. Namun, sebagai bapa, kata Ngasri, dia amat bersyukur akhirnya Darling menemui cinta sejatinya, Nur Azlin Rahmat, 34.

Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh Ngasri, pada majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, Sabtu lalu.

"Dialah anak yang terakhir berkahwin. Dan memandangkan dialah yang 'last' sekali mengakhiri zaman bujang, saya yakinkan diri untuk menikahkan sendiri anak saya," tutur Ngasri.

Pada majlis yang serba ringkas itu, Darling menerima mas kahwin RM80, wang hantaran sebanyak RM22,222.22 serta sembilan dulang hantaran berbalas 11 daripada pihaknya.

Detik manis itu juga disaksikan oleh ahli keluarga, saudara-mara terdekat dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Darling dan jejaka yang bertugas sebagai pegawai pemasaran itu telah mengikat tali pertunangan pada pertengahan Mac lalu setelah berkenalan pada bulan Ogos tahun lalu.

Lebih bermakna lagi, majlis bersejarah pasangan itu juga secara kebetulan menjadi 'hadiah' istimewa buat Darling yang akan menyambut hari lahirnya yang ke-26 pada 2 Jun ini manakala hari lahir bapanya juga jatuh pada 31 Mei.

Menurut Ngasri, sebelum Darling melangsungkan pernikahan, dia banyak menasihati anaknya itu tentang alam perkahwinan dan cabaran yang perlu ditempuh di dalam rumahtangga.

"Saya selalu tekankan kepada anak-anak perempuan saya supaya taat kepada suami. Bila ada masalah, kenalah banyak bersabar dan jangan mengikut perasaan sehingga berlaku perceraian.

"Keputusan bercerai ni sebenarnya macam bom atam...dalam sekelip mata benda itu boleh berlaku, sedangkan untuk berkahwin tidak semudah itu. Saya beritahunya, kita akan benar-benar merasai nikmat perkahwinan itu setelah usia rumahtangga mencecah lima tahun ke atas.

"Jadi, apa saja masalah yang berlaku, kenalah tangani secara bijak. Seperti mana masalah yang berlaku pada anak lelaki saya, Bell dan isterinya dulu, saya minta mereka banyak-banyak bersabar dan fikir cara yang terbaik," ujar bapa kepada enam orang anak ini.

Dalam pada itu, kata Darling, dia amat terharu dengan kesudian bapanya untuk menikahkannya sendiri kerana sebelum ini bapanya itu tidak pernah berbuat perkara yang sama sewaktu perkahwinan adik-beradik perempuannya yang lain.

"Saya memang rasa cukup tersentuh sebenarnya apatah lagi saya amat rapat dengan bapa saya. Kami sering berkongsi banyak idea terutamanya tentang isu-isu politik dan hal-hal semasa.

Malah, sebelum berkahwin pun, banyak nasihat yang dia dan ibu berikan pada saya," kata Darling yang akan berbulan madu dengan suaminya di Paris tidak lama lagi.

Ditanya perasaannya menjadi anak yang terakhir berkahwin, dalam nada ceria, anak keempat daripada enam beradik ini berkata, dia lega akhirnya berjaya mengikut jejak langkah adik-beradiknya yang lain.

Namun begitu, kata Darling, sebelum bertemu jodohnya, dia tidak pernah 'terasa' hati apabila melihat adik-beradiknya berkahwin dan mempunyai anak masing-masing.

"Saya tidak rasa apa-apa pun ketika itu. Malah, saya amat rapat dengan anak-anak saudara saya. Saya percaya, ketika itu saya masih belum bertemu dengan orang yang tepat.

"Alhamdulillah, jodoh saya sampai juga. Walaupun ada sesetengah pihak yang merasakan kami kahwin terlalu cepat, tapi saya lebih senang katakan inilah yang dinamakan jodoh," katanya yang tidak kisah tentang bilangan cahaya mata yang akan dikurniakan oleh Allah kelak.

Dalam pada itu, Nur Azlin berkata, ciri-ciri yang ada pada Darling berjaya menambat hatinya untuk melamar gadis itu sebagai isteri.

"Dia ni baik, memahami dan tidak mudah melenting. Darling juga seorang yang amat mengambil berat.

"Tetapi saya akui, pada awalnya saya tidak perasan dia adalah seorang artis. Saya kenal adiknya saja, Anne, sebab pernah menonton lakonannya di dalam drama Dunia Baru, tetapi saya memang tidak tahu Darling adalah pelakon.

"Itu pun sepupu saya yang beritahu dia adalah seorang artis," ujarnya yang menambah, mereka hanya sering berbalas SMS di awal perkenalan dulu sebelum hubungan itu bertambah serius.

Pasangan ini telah mengadakan majlis persandingan di Taman Metropolitan Batu, Jalan Ipoh, semalam, dengan bertemakan 'garden wedding', manakala resepsi di sebelah lelaki pula akan diadakan di Bukit Katil, Melaka pada 7 Jun depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain