suria

Kakak Tua: Antara muhasabah diri dan transformasi!

Penyesalan yang datang dari pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan kerana membawa watak pondan, seharusnya dicontohi artis lain.
Penyesalan yang datang dari pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan kerana membawa watak pondan, seharusnya dicontohi artis lain.
Penyesalan yang datang dari pelakon veteran Datuk Jalaluddin Hassan kerana membawa watak pondan, seharusnya dicontohi artis lain.

ISU watak pondan haram yang diutarakan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut mendapat reaksi berbeza dari kalangan mereka yang tersentuh dan termakan cili.

Tak perlulah disenaraikan nama-nama 'pesalah' ini kerana siapa yang paling cepat melatah, merekalah yang paling terasa sekali.

Baik pelakon, penerbit mahupun penulis skripnya, semuanya masuk di lubuk yang sama.

Walaupun ada yang cuba membela diri dengan memberi alasan tidak munasabah, semua itu hanya akan mengaibkan diri sendiri saja.

Nasib baiklah masih ada seorang artis yang berpijak pada bumi nyata seperti Datuk Jalaluddin Hassan yang akur dan mahu munasabah diri setelah ditegur oleh tokoh agama itu.

Abang Jalal terus saja akur dan mengaku bersalah melakukan perbuatan yang disebutkan Noh Gadut itu kerana menyerupai perempuan dalam watak Abang Long/Kak Kay di pentas teater Patung Kertas. Jadi pada abang Jalal, hanya satu kesalahan.

Tapi bagi mereka yang tetap degil dalam keangkuhan pula, jelas sudah melakukan dua kesalahan. Satu kerana menyerupai wanita, kedua kerana ingkar mendengar nasihat dari orang yang arif tentang hukum.

Bak kata abang Jalal, "Jangan persoalkan kenyataan tokoh agama seperti Noh Gadut hingga menampakkan kita ini bodoh. Kita perlu akur dan muhasabah diri," jawabnya ringkas. Seperti kata orang tua-tua...'degil tak boleh diikut, bodoh tak boleh diajar.'

Kakak Tua sejuk hati mendengar penjelasan abang Jalal. Tambah pula bila seorang veteran sepertinya sanggup mengaku tersilap, ingin insaf dan mahu muhasabah diri.

Begitulah sepatutnya kalau sudah bersalah, cepat-cepat balik ke pangkal jalan. Jangan pula melatah tak tentu pasal dan angkuh hendak mengaku kesalahan lalu.

Muhasabah diri dalam konteks ini sama jugalah macam usaha hendak transformasikan diri kita ke arah yang lebih positif. Bukan senang hendak menzahirkan 'transformasi' dalam bentuk perbuatan.

Kalau untuk lafazkan transformasi mudah saja, hanya jatuhkan bibir atas dan bawah.

Arus perubahan transformasi ini akan menonjolkan kehebatan diri kita. Tapi ada kalanya, transformasi juga boleh menampakkan kelemahan diri kita kalau kita hanyut dengan kehebatan sikap kita....

Akademi Fantasia 7 sedang melalui satu fasa transformasi. Dalam Umno juga sedang melalui pergolakan di bawah arus yang dibawa oleh jenama transformasi.

Bertambah hebat arus yang mendatang bila mana penaung baru, PM ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak menggantikan Datuk Seri Abdullah Badawi.

Enam tahun dengan gelombang kelembutan yang sama, kini arus politik akan turut dihambat satu pukulan transformasi. Apa yang akan dibawa oleh arus baru, hanya masa yang akan menentukan.

Begitu gah 'tagline' transformasi ini. Popularitinya, kebetulan dipelopori oleh Prinsipal AF7 Datin Seri Tiara Jacquelina dan kini acapkali dijadikan satu 'reference point.'

Mungkin senario politik dan hiburan jauh berbeza tapi kesannya hampir sama apabila yang baru mengambilalih yang lama. Sederas, setangkas dan sekencang mana arus perubahan yang akan dibawa oleh Tiara dan Najib, kita tunggu dan lihat.

Begitu juga dengan berita Maestro Talent tutup kedai, diganti dengan Astro Entertainment. Mungkin ini satu berita cemas untuk artis yang terlibat.

Tapi di sebalik kekalutan ekonomi tidak menentu yang menyelubungi dunia hiburan dan politik, semua jalinan perubahan ini masih samar-samar.

Jadi tidak adil dan agak 'premature' untuk membuat sebarang spekulasi dan rumusan pada waktu ini.

Tapi dalam apa jua keadaan, apabila kita nekad utnuk membuat muhasabah atau transformasi, yang penting ialah niat. Niat ini jangan dicemari dengan sikap ujub, riak dan takbur.

Jangan ikut rasmi paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu....

KAKAK TUA: Selalu ingat pesan arwah ibu - Pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar.

Artikel Sebelum

Yatt seronok jadi isteri

Artikel Berikut

Artikel Lain