suria

Mila 'lepaskan' syarikat sendiri, nafi kerana isu 'sugar daddy'

Mila 'tinggalkan' syarikat sendiri kerana ingin memberi fokus kepada syarikat baru miliknya
Mila 'tinggalkan' syarikat sendiri kerana ingin memberi fokus kepada syarikat baru miliknya
Mila 'tinggalkan' syarikat sendiri kerana ingin memberi fokus kepada syarikat baru miliknya

[SEMASA] SETELAH lebih setahun menjadi ahli lembaga pengarah syarikat miliknya sendiri, MC Voices & Stars bersama rakan kongsi, Bernard Cheah, juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Mila mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat itu. Satu keputusan yang telah menimbulkan banyak persoalan apatah lagi tujuan syarikat itu ditubuhkan pada asalnya adalah untuk membantu membangunkan karier seni penyanyi itu.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikirimkan oleh syarikat terbabit, pengunduran Mila dibuat atas kehendak penyanyi itu sendiri yang dikatakan mahu lebih fokus mengendalikan syarikatnya yang baru, LuvMila Corporation bagi mengelak berlakunya konflik kepentingan di antara syarikat tersebut.

Menurut Bernard, MC Voices & Stars Sdn Bhd selepas ini akan membuka peluang lebih luas kepada artis- artis lain selain daripada menjana perniagaan sebagai pelabur secara usahasama dengan syarikat-syarikat yang mengendalikan perniagaan dalam bidang acara atau hiburan yang lain.

"Syarikat kami tidak akan ditutup hanya kerana hal ini, malah kami ingin dan akan terus bekerjasama dengan lebih ramai lagi rakan kongsi atau artis yang ingin mencari peluang untuk berjaya di dalam bidang ini.

"Cuma kami akan lebih berhati-hati dengan rancangan perniagaan supaya mendapat hasil yang lebih positif di masa akan datang," kata Bernard, tanpa mengulas lanjut tentang pengunduran penyanyi kecil molek itu.

MC Voices & Stars ditubuhkan setelah Mila dinobatkan sebagai juara AF5. Tambah Bernard, walaupun Mila tidak lagi dibawah kendalian syarikat terbabit, mereka akan terus berkerjasama dengan pihak Maestro untuk album kedua penyanyi itu yang bakal diedarkan tidak lama lagi termasuk beberapa lagu yang telah dirakamkan oleh syarikat tersebut sebelum ini.

Antara lagu milik syarikat tersebut telah di tulis oleh komposer-komposer terkenal seperti Ajai dan Azmeer, manakala pengarah muzik terkenal negara, Ramli MS juga terlibat sebagai produser untuk dua buah lagu di dalam album itu nanti.

"Seperti yang dijanjikan, kami akan tetap meneruskan kerjasama dengan Maestro kerana kami telah membuat sejumlah pelaburan keatas album Mila yang baru ini, jadi seharusnya kami mencari peluang untuk mendapat keuntungan daripada pelaburan ini.

"Namun peluang akan juga dibuka kepada artist-artis dan syarikat-syarikat lain di masa akan datang," kata Bernard yang juga telah melabur dan menjadi rakan niaga utama bagi syarikat terkenal, Nova Music & Entertainment yang memegang hak pengedaran lagu-lagu digital dan album dari Maestro Records, KRU Studios, Warner Music, dan Sony Music di Malaysia dan di Singapura.

Mila: Bukan kerana masalah peribadi

Pengunduran penyanyi kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini dari syarikat terbabit ternyata telah menimbulkan rasa sangsi oleh sesetengah pihak.

Masakan tidak, difahamkan syarikat tersebut telah pun mengatur pelbagai agenda untuk melonjakkan lagi karier penyanyi itu antaranya termasuklah menghasilkan sebuah album untuk pasaran di Indonesia.

Lantaran itu, apabila Mila enggan lagi bertindak sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut, dia seperti seolah-olah menolak 'tuah'.

Mila yang dihubungi akui, keputusan yang diambilnya itu memang telah difikir semasak-masaknya dan menegaskan pengunduran itu bukan disebabkan masalah dalaman mahupun 'peribadi', apatah lagi dengan tersebarnya gosip panas baru-baru ini yang mengatakan Mila mempunyai 'sugar daddy' yang kononnya adalah Bernard sendiri.

"Saya keluar dari syarikat itu secara rasminya pada pertengahan bulan lalu. Bukan kerana masalah peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan gosip liar yang diperkatakan tidak lama dulu.

"Saya ingin jelaskan di sini, hubungan profesional antara saya dan Bernard masih baik. Saya ingin fokus kepada syarikat saya sendiri yang sudah mula beroperasi sejak pertengahan tahun lalu. LuvMila Corporation adalah syarikat milik saya bersama keluarga.

"Apapun, saya masih bekerjasama dengan syarikat tersebut walaupun saya tidak lagi menerajui syarikat itu. Album kedua saya juga tetap membabitkan MC Voices & Stars kerana ada di antara lagu tersebut adalah milik syarikat itu.

"Cuma untuk projek-projek lain, jika mereka tidak mahu teruskan bersama saya, tidak mengapalah. Saya tidak ada masalah tentang hal itu. Dan saya tidak keberatan juga untuk bekerjasama dengan mereka pada masa akan datang.

"Apa yang penting, sekarang ini saya ingin majukan syarikat saya secara perlahan-lahan. Alhamdulillah, produk kesihatan dan penjagaan dalaman wanita yang dikeluarkan oleh syarikat saya ini semakin mendapat sambutan.

"Selepas ini, kami akan keluarkan pula set penjagaan wajah," kata pengalun lagu Persis Mutiara dan Aku Lebih Tahu ini.

Biar apapun tanggapan ramai terhadap dirinya selepas ini gara-gara 'meninggalkan' syarikat yang ditubuhnya bersama Bernard itu, kata Mila, dia tidak mahu terlalu memikirkan tentang hal itu.

"Saya juga ada perancangan untuk melihat karier dan bisnes saya ini terus berkembang. Jadi, apa saja orang nak cakap tentang saya, terpulanglah," kata Mila yang kembali sibuk di studio untuk proses rakaman album keduanya yang masih mengekalkan konsep pop.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain