suria

Filem Terbaik FFM21 ada harapan menang di Anugerah Skrin 2008?

SENARAI pendek finalis yang dicalonkan bagi setiap kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Skrin 2008 masih dikunci rapi oleh pihak penganjur, TV3.

Seperti yang diketahui, senarai pendek hanya akan diketahui pada malam anugerah yang telah dianjurkan selama 10 tahun berturut-turut itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV3 Datuk Amrin Awaluddin, para juri hanya akan membuat keputusan beberapa jam sebelum acara bermula.

Menyentuh tentang empat kategori Pelakon Terbaik Drama, timbul kekeliruan bilamana terdapat tiga jenis drama iaitu telefilem, drama rantaian dan drama komedi.

Persoalannya, adakah pelakon yang layak menerima anugerah Pelakon Terbaik Drama dipilih daripada pelakon telefilem sahaja atau termasuk drama rantaian dan drama komedi?

Jawab Amrin, untuk Pelakon Drama Terbaik, ianya dipilih daripada semua pelakon telefilem atau drama sahaja seperti 18 buah drama yang disenarai pendekkan.

Antara 18 buah drama tersebut adalah Kehangatan Lantana (TV3), Ihsan (TV3), Tuhan Pun Tahu (TV3), Pulanglah Di Aidilfitri (RTM1), Kebun Pisang Tok Mudim (RTM2), Raya Sedondon (TV9), Aku Bukan Buaya (NTV7) dan Hang 2 (Astro Ria).

Siaran ulangan drama-drama tersebut ditayangkan di slot Cerekarama bermula dari 16 Ogos hingga 26 Oktober lalu.

Dan apakah kriteria untuk memenangi kategori-kategori yang dipertandingkan, Amrin berkata ia bergantung kepada kategori itu sendiri. Sebagai contoh, untuk kategori Drama, kriteria yang dilihat adalah:

a) plot dan garapan skrip; b) Kekuatan dialog; c) bahasa dan gaya; d) penafsiran dan penghayatan watak, pembawaan dan peranan pelbagai watak; e) aspek pengarahan dan lakonan, watak dan kesan lakonan; f) aspek videografi dan penyuntingan teknik visual; g) aspek teknikal: Bunyi, muzik, cahaya dan efek; h) kreativiti lakonan, kesan dan konsistensi dalam lakonan.

Bukan mudah untuk menyungkil siapakah juri sebalik ASK 2008, dan seperti yang diduga,

Amrin enggan memberitahu nama-nama mereka yang menghakimi anugerah tersebut.

"Kita belum boleh dedahkan nama para juri sehingga keputusan akhir dan nama pemenang diumumkan," beritahu Amrin.

Begitu juga dengan Anugerah Khas Juri yang hanya akan diumumkan pada malam ASK 2008.

Menurut Amrin, ianya boleh diberikan kepada sesiapa sahaja, tidak semestinya kepada mereka yang terlibat dalam filem atau drama sahaja.

"Antara kriterianya adalah individu yang telah banyak menyumbang kepada industri filem, mahupun drama," tambahnya.

Semalam, kemungkinan besar Filem Terbaik yang telah memenangi FFM21 baru-baru ini akan mengulangi sejarah kemenangan mereka di Anugerah Skrin 2008 esok.

Mungkinkah filem Kala Malam Bulan Mengambang arahan Mamat Khalid mempunyai harapan untuk memenanginya.

Diminta mengulas tentang jangkaan tersebut, Amrin berkata: "Sudah tentu filem Kala Malam Bulan Mengambang ada kemungkinan untuk memenangi Filem Terbaik Anugerah Skrin 2008."

Ini hanya kemungkinan dan perubahan boleh berlaku bila-bila masa sahaja selagi tirai Anugerah Skrin 2008 dibuka esok, pada pukul 9 malam di TV3 yang dibawakan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Artikel Sebelum

'Wayang' filem sebenar kehidupan

Artikel Berikut

Artikel Lain