suria

Ashraf dari transisi pelajar ke Ustaz dan tokoh korporat

Ashraf melakonkan watak Ustaz Amirul dalam Puaka Niyang Rapik di TV3. -foto KAMARUL ARIFFIN
Ashraf melakonkan watak Ustaz Amirul dalam Puaka Niyang Rapik di TV3. -foto KAMARUL ARIFFIN
Ashraf melakonkan watak Ustaz Amirul dalam Puaka Niyang Rapik di TV3. -foto KAMARUL ARIFFIN

SEBELUM ini aktor Ashraf Muslim selalu diberikan peranan pelajar kolej seperti yang dilakonkan dalam drama Impian Illyana dan Impak Maksima.

Kali ini, dia diberikan tugasan baru yang tidak pernah dilakukan sebelum ini iaitu memegang watak ahli korporat melalui drama bersiri Dari Mata Arisa.

Drama 40 episod terbitan Bright Network Sdn. Bhd. telah menemui penonton sejak semalam, 3 November, setiap Isnin, pukul 9 malam di RTM1.

Drama bersiri yang diadaptasi dari novel Kau Sayangku nukilan Bikash Nur Idris ini mengisahkan seorang gadis, Arisa (Ayu Raudhah) yang pada zahirnya seorang periang, tetapi di sebalik gelak tawanya tersimpan satu kisah pahit.

Adik kembarnya, Ayana (Ayu Raudhah) telah pergi bersama cinta yang tidak kesampaian dan keluarganya telah dibenci oleh ibu saudaranya sendiri.

Kehadiran Eddy Sham (Ashraf Muslim) dan Akif Zamani (Syed Aiman) telah mengocak jiwa remaja Arisa. Mereka mempunyai impian yang sama untuk memberi dan menerima cinta.

Cerita Ashraf, dia tertarik untuk menerima watak tersebut kerana belum pernah melakonkannya sebelum ini.

"Sebelum melakonkan watak ini, saya buat eksperimen dengan duduk bersama orang korporat dan melihat cara dan perlakuan mereka," beritahunya.

Selain melakonkan watak tersebut, Ashraf juga diberi tugasan melakonkan watak Ustaz melalui drama bersiri Puaka Niyang Rapik arahan Ahmad Idham.

Drama 13 episod terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. ini bakal menemui penonton setia Slot Seram mulai 6 November ini, setiap Khamis, pukul 9.30 malam.

Puaka Niyang Rapik merupakan drama berunsur mistik dan percintaan berkisarkan sebuah perkampungan dinamakan Niyang Rapik di mana penduduknya percaya akan kehadiran kuasa ghaib yang mengerikan setiap kali menjelangnya Tahun Baru Islam.

Namun, kehadiran seorang ustaz, Ustaz Amirul (Ashraf) ke kampung itu telah mengubah pemikiran beberapa penduduk kampung dan hal ini menimbulkan kemarahan penduduk setempat yang amat berpegang teguh kepada kepercayaan karut tersebut.

"Ini merupakan kali kedua saya memegang watak ustaz namun lakonan yang pertama dulu tidak serius.

"Dalam drama ini, Idham minta saya berlakon sebagai seorang Ustaz dan membaca al-Quran.

Saya perlu membaca semua ayat lazim dalam al-Quran untuk menyembuhkan seseorang yang terkena histeria," ujar Ashraf yang akui gemarkan watak ini.

Kata Ashraf, dia sukakan watak tersebut kerana banyak yang dipelajari tentang agama dan mengetahui lebih mendalam tentang al-quran.

"Untuk menghayati watak seorang ustaz, saya membaca buku tafsir al-quran dan memahami maksudnya setiap ayat.

"Saya juga mendapatkan bantuan seorang ustaz jika tidak mengetahui sesuatu perkara dalam fardhu ain," kata pemuda berusia 27 tahun ini yang menjadikan amalan membaca tafsir al-quran sehingga sekarang.

Persediaan hidup sebelum kahwin

Kisah hubungan cintanya dengan aktres Sherry Ibrahim, 25 sudah lama dihebahkan. Namun, apabila ditanya masing-masing mengaku belum bersedia untuk berkahwin.

Apabila diajukan pertanyaan ini kepada Ashraf, anak muda kelahiran Teluk Mas, Melaka ini sedang melakukan persediaan hidup sebelum menghadapi alam rumah tangga.

"Saya tertanya-tanya adakah saya mampu membahagiakan isteri saya kalau kami kahwin sekarang.

"Apa yang saya belajar setelah berlakon watak ustaz itu, seseorang itu berkahwin bukan kerana harta semata-mata.

"Sama juga kalau saya hendak memilih calon isteri, saya perlu fikir sebab saya memilihnya.

"Adakah disebabkan harta atau rupa sudah cukup untuk berkahwin? Jadi, saya kena fikir betul-betul sebelum membuat keputusan," jelas Ashraf.

Dia mensasarkan umur 30 tahun untuk menamatkan zaman bujang itupun jika sudah bersedia.

Ditanya tentang hubungannya dengan Sherry sekarang, Ashraf berkata: "Gaduh-gaduh tu biasa la."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain