suria

Prof Hatta menangi Anugerah 'Sea Write'

BANGKOK: Prof Hatta Azad Khan, yang menulis dan mengarahkan sitkom televisyen popular dan paling lama ditayangkan di Malaysia, Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dipilih sebagai seorang daripada sembilan pemenang Anugerah Penulis-penulis Asia Tenggara (Sea Write) 2008.

Hatta, 56, pensyarah dalam pengajian teater dan filem serta Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara, akan menerima anugerah itu daripada Puteri Maha Chakri Sirindhorn, Selasa ini.

Pemenang lain, yang dipilih dari negara masingmasing dan menghasilkan karya mereka dalam bahasa ibunda, adalah Zairis M.S. (Brunei), Dr Sin Touch (Kemboja), Othong Khaminsou (Laos), Nguyen Ngoc Tu (Vietnam), Stella Kon (Singapura), Dr Elmer Alindogan Ordonez (Filipina), Hamsad Rangkuti (Indonesia) dan Watchara Sujjasarasin (Thailand).

Prof Hatta yang dilahirkan pada 1952, mengikuti pengajian pengarahan teater dan sinografi di Amerika Syarikat serta pengajian filem di Australia.

Beliau menulis dan mengarah drama pentas dan muzikal, di samping skrip untuk filem (cereka dan dokumentari) serta sitkom televisyen.

Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang terkenal dengan sindiran dan satira mengenai kehidupan serta paparan warna warni masyarakat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat, disiarkan selama 18 tahun.

Skrip teater terbaru Prof Hatta adalah "KL the Musical" dan Musical "Kampung Baru". BERNAMA

Artikel Sebelum

Semangat Aidilfitri Eja di Mekah

Artikel Berikut

Awie bakal hasilkan album nasyid

Artikel Lain