suria

Keletah Fara bakal gamatkan Hari Raya!

'Raya Bersama Fara' bakal disiarkan pada Hari Raya kelima nanti - foto TV3
'Raya Bersama Fara' bakal disiarkan pada Hari Raya kelima nanti - foto TV3
'Raya Bersama Fara' bakal disiarkan pada Hari Raya kelima nanti - foto TV3

SEPERTI tahun-tahun terdahulu, stesen-stesen televisyen pastinya akan 'berlumba-lumba' menerbitkan program-program khas sempena meraikan hari lebaran.

Tentunya TV3 juga tidak ketinggalan menyediakan santapan menarik sempena Aidilfitri yang bakal menjengah dua hari saja lagi.

Setelah berjoget lambak bersama Fara pada raya tahun lalu, penonton-penonton TV3 khususnya peminat-peminat Fara Fauzana bakal disajikan dengan sebuah lagi program raya ”Raya Bersama Fara” yang akan menemui penonton pada hari raya kelima, selama sejam bermula pada pukul 5 petang.

Raya Bersama Fara memfokuskan kepada pengacara wanita popular 2006/2007 Anugerah Bintang Popular Fara Fauzana sebagai pengendali program berbentuk bual bicara hiburan ini.

Selain itu ia turut menyelitkan ucapan dan dedikasi daripada peminat dan rakan-rakan sekerja Fara serta persembahan lagu-lagu yang dibawa secara langsung, tarian dan juga aktiviti-aktivi yang menghiburkan.

Antara artis yang terlibat menjayakan program ini termasuklah Jinbara, Afdlin Shauki, Misha Omar, Datuk Aziz Satar, Azwan Ali dan Darling Ngasri.

Persembahan artis diiringi oleh pemuzik-pemuzik profesional yang dipimpin oleh Faizal Uzir atau Lok U.

Program ini terbahagi kepada empat segmen, di mana segment pertama akan menyaksikan Fara menjemput artis-artis kegemarannya untuk bersama-sama dengannya.

Artis-artis tersebut ialah Jinbara yang merupakan kumpulan kegemaran Fara, Misha Omar yang merupakan artis kegemaran Fara dan juga Datuk Aziz Satar yang merupakan artis veteran kegemarannya.

Segmen kedua pula menampilkan dua orang artis yang diundang khas oleh Fara iaitu pengacara sensasi Azwan Ali dan pelakon yang juga kawan karibnya Darling Ngasri.

Kedua-dua artis ini merupakan antara artis yang paling teruk dikenakan 'panggilan hangit' oleh Fara menerusi radio Hot FM dan kesempatan ini diambil oleh Fara untuk memohon maaf secara terbuka daripada mereka.

Segmen ketiga pula bakal menyaksikan Fara menemubual pelakon lelaki kegemarannya, Afdlin Shauki. Sesuatu yang menarik berlaku apabila Afdlin Shauki pula mengambil alih tempat Fara lalu bertanyakan soalan-soalan panas kepada Fara.

Di sini penonton akan mengetahui serba sedikit latar belakang mengenai Fara di samping membongkar apa yang penonton tidak tahu mengenai Fara sebelum menjadi selebriti terkenal. Apa yang menarik, orang-orang tertentu yang berkaitan dengan Fara juga turut diundang tanpa pengetahuan Fara.

Segmen terakhir pula memberi peluang kepada peminat-peminat setia Fara untuk bertanyakan apa jua soalan kepada Fara dan pengacara itu dikehendaki menjawab soalan-soalan tersebut dengan jujur yang mana jika dia enggan menjawab soalan-soalan tersebut dia akan dikenakan denda.

Selain berbual dan diselitkan dengan usik-mengusik sambil menikmati juadah raya penonton juga akan turut dihiburkan oleh kumpulan Jinbara dengan lagu Fauzana-Puteri Bumi Kenyalang dan Afdlin Shauki yang menyampaikan lagu Aku Lelaki.

Fara Fauzana juga turut menyumbangkan suara berduet dengan Misha Omar dengan lagu Jawapanmu. Program diakhiri dengan nyanyian beramai-ramai dengan lagu raya Suasana Hari Raya.

Program ini diterajui oleh Khalijah Mohamed sebagai penerbit eksekutif dan Ahmad Shaifullizam Arshad (Gbam) yang bertindak sebagai pengarah dan penerbit.

Artikel Sebelum

Semangat Aidilfitri Eja di Mekah

Artikel Berikut

Awie bakal hasilkan album nasyid

Artikel Lain