suria

Lady Gaga diberi penghormatan nyanyi lagu kebangsaan AS di majlis angkat sumpah presiden Joe Biden

Lady Gaga sentiasa menyokong perjuangan politik Joe Biden.

PENYANYI Lady Gaga telah diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu kebangsaan Amerika Syarikat (AS), The Star Spangled Banner semasa majlis angkat sumpah presiden baharu AS yang akan berlangsung pada 20 Januari ini.

Presiden ke-46 AS, Joe Biden dan naib presidennya, Kamala Harris akan mengangkat sumpah di bangunan rasmi kerajaan di Capitol, Washington selepas mereka memenangi pilihan raya yang diadakan pada 3 November tahun lalu.

Selain Gaga, penyanyi Jennifer Lopez turut diundang untuk membuat persembahan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Gaga atau nama sebenarnya, Stefani Joanne Angelina Germanotta, 35, secara terang-terangan menunjukkan sokongannya terhadap Biden sepanjang kempen pemilihan presiden tahun lalu.

Malah, penyanyi Bad Romance itu juga menyeru agar peminatnya membuat pilihan yang bijak demi keharmonian hidup masyarakat di negara Uncle Sam itu.

Joe berjaya merampas kedudukan Donald Trump sekali gus menyaksikan penyingkiran presiden ke-45 AS itu yang tidak berpeluang untuk meneruskan tampuk pemerintahannya.

Trump bergelar presiden AS sejak 20 Januari 2017. - Metro.co.uk

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain