suria

Seminggu tidak sihat, pelakon filem 'Guru Bangsa: Tjokroaminoto' Ade Firman Hakim meninggal dunia akibat Covid-19

Jenazah Firman selamat dikebumikan mengikut prosedur pesakit Covid-19.

PELAKON Indonesia iaitu Ade Firman Hakim disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti wabak Covid-19 pada pukul 5.20 petang (waktu tempatan), Isnin.

Menerusi laporan Liputan6, berita pemergian pelakon filem 'Guru Bangsa: Tjokroaminoto' itu dikongsikan oleh adiknya iaitu Dai Tirta ketika dihubungi pihak media negara itu.

Menurut Dai Tirta, dia membawa abangnya ke Rumah Sakit Umum Daerah Tarakan selepas melihat keadaan arwah yang semakin teruk.



Ade Firman tidak sihat sejak minggu lalu.

"Ya... abang saya dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada pukul 5.20 sebelum masuk waktu maghrib. Minggu lalu, dia kurang sihat tapi masih boleh tengok telefon untuk hubungi rakan-rakannya walaupun saya melarang.

"Tapi bila keadaan dia bertambah teruk, saya terus bawa dia ke hospital. Doktor mengesahkan dia dijangkiti Covid-19 dan pukul 5.20 petang, doktor mengesahkan dia sudah tiada," katanya.

Proses pengebumian jenazah Allahyarham dilakukan mengikut garis panduan pesakit Covid-19 dan telah selamat dikebumikan di Tempat Pemakaman Umum, Tegal Alur pada malam, Isnin.

Dai Tirta juga telah melakukan ujian Covid-19 dan sehingga kini masih menunggu keputusan daripada pihak hospital.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain