suria

“Baru jumpa beberapa hari lalu... MasyaAllah!” - Shireen Sungkar sedih pemergian pengasas Dnars

Shireen (tengah) bersama Faziani (kanan) di satu program agama yang berlangsung di Indonesia sehari sebelum kemalangan usahawan berkenaan.

PELAKON Shireen Sungkar menyifatkan usahawan kosmetik dari Malaysia iaitu Faziani Rohban Ahmad yang terkorban dalam nahas jalan raya pada Sabtu lalu merupakan seorang individu yang pemurah.

Menerusi Instagram, Shireen yang juga merupakan duta produk Dnars di Indonesia mengakui mengagumi sikap baik hati dan rajin bekerja Allahyarham Faziani.

"Kenal ibu owner yang baik MasyaAllah, dia bercerita bagaimana jualan dari tiada apa-apa sampai boleh kaya sekarang.

"Baru berjumpa beberapa hari lalu, beliau menyokong program kita dan beri iftar untuk 2500 peserta dan sepanjang majlis dia beritahu suka program pengajian (agama) begini dan mahu diteruskan.

"Umur tak menjamin sihat kerana Allah yang menentukan ajal. MasyaAllah diambil pun ketika perjalanan menghantar dana untuk tahfiz," tulisnya di Instagram.

Perkongsian Shireen di Instagram.

Bersama kapsyen tersebut, turut disertakan foto mereka bertemu di sebuah program agama diberi nama Ngariung Yuk yang diadakan di Indonesia sehari sebelum kemalangan.

Foto tersebut menerima lebih 100,000 tanda suka dan hampir 400 komen daripada pengikut.

Pada Sabtu lalu, pengasas Dnars itu meninggal dunia selepas dia terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Pattani, Thailand.

Menerusi laporan mStar, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan ke rumah anak-anak tahfiz bagi memberi sumbangan.

Suami kepada Allahyarham, Ahmad Shah Rizal Ibrahim yang turut berada di dalam kenderaan tersebut mengalami kecederaan.

Artikel Lain