suria

Sam Smith Batal Persembahan Solo Lagi...

Sam Smith

PEMENANG Anugerah Grammy, Sam Smith menjejakkan kaki di kota fesyen, Milan pada Isnin dengan penuh keterujaan untuk persembahan solonya di sana tetapi ia berakhir dengan penuh kehampaan apabila dia tidak dapat beraksi kerana terkena radang kotak suara.

Insiden itu terjadi hanya beberapa jam sebelum dia dijadualkan membuat persembahan di Kelab Alcatraz.

Sam terpaksa memohon maaf kepada para peminatnya melalui laman Twitter dengan mengesahkan yang dia telah terkena laringitis (radang pada kotak suara).

Penyanyi itu mempunyai 2.23 juta pengikut menerusi laman berkenaan.

Berjanji akan kembali semula ke Milan pada musim panas akan datang, penyanyi lagu popular 'Stay With Me' itu berkata kali ini dia akan mengadakan konsert besar.

"Saya benar-benar ingin memohon maaf kepada semua peminat saya yang menunggu di Milan dan juga kepada mereka yang mengembara untuk ke Milan dari jauh semata-mata kerana ingin menyaksikan persembahan saya. Saya mohon maaf saya telah disahkan terkena laringitis. Saya berjanji saya akan menebus semula pembatalan persembahan malam ini pada musim panas nanti," katanya sambil menambah akan kembali semula Jun ini.

Penyanyi berusia 22 tahun itu dikatakan bekerja tanpa henti sejak dinobatkan sebagai penyanyi terbaik 2014 pada Anugerah Brits Critics' Choice.

Tetapi insiden di Milan itu bukanlah yang pertama melibatkan Sam. Pada musim luruh yang lalu, dia terpaksa membatalkan persembahannya di Toronto, Kanada musim setelah mengalami sakit anak tekak.

Albumnya yang berjudul 'In The Lonely Hour', terjual sebanyak 3.4 juta unit di seluruh dunia sehingga Februari lalu.

Sam Smith, Milan

Artikel Lain