suria

Wartawan Dihukum Gara-Gara Serang Brad Pitt

Brad Pitt diserang oleh seorang wartawan ketika menghadiri acara karpet merah tayangan perdana filem Maleficent pada Rabu minggu lalu.
GARA-GARA menyerang Brad Pitt ketika pelakon itu menghadiri sebuah acara, seorang wartawan yang dikenali sebagai Vitalii Sediuk tidak dibenarkan menghadiri sebarang majlis melibatkan bintang Hollywood oleh sebuah mahkamah di Los Angeles pada Jumaat lalu.

Portal Aceshowbiz melaporkan, Vitalii turut tidak dibenarkan mendekati mana-mana acara hiburan dalam jarak sekurang-kurangnya 500 meter dan dia dikenakan waktu percubaan selama 36 bulan oleh mahkamah.

Dalam pada itu, mahkamah turut membuat keputusan lelaki berkenaan perlu menjalani terapi kerana bimbang tindakannya menyerang Brad berpunca daripada penyakit mental.

Vitalii ditahan pihak polis selepas melakukan serangan terhadap Brad Pitt.

Serangan itu dibuat lelaki berkenaan ketika Brad hadir ke acara karpet merah tayangan filem terbaharu kekasihnya, Angelina Jolie berjudul Maleficent pada Rabu minggu lalu.

Bagaimanapun Vitalii sempat ditahan oleh pengawal bertugas pada acara berkenaan sebelum dia diserahkan kepada pihak berkuasa.

Ia bukan kali pertama dia berbuat demikian kerana lelaki itu pernah melakukan serangan terhadap pelakon lain seperti Will Smith, Adele dan Bradley Cooper.

Brad Pitt, Maleficent.

Artikel Lain