suria

TNB Bakal Peroleh 50 Peratus Kepentingan Dalam Porfolio Solar PV Di Britain

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB),  TNB International Sdn Bhd, mengambil alih 50 peratus kepentingan ekuti dalam  Vortex Solar Investments Sarl (Vortex Solar) membabitkan 86 juta pound (RM477 juta).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, TNB berkata pengambilalihan itu membabitkan operasi portfolio 365 medium-voltan (MV) solar fotovoltan (PV) di Great Britain.

TNB berkata pihak yang terlibat dalam perjanjian langganan dan pembiayaan, yang akan melanggan saham ekuiti baharu dalam Vortex Solar, ialah Beaufort  Investments Sarl (Beaufort), anak syarikat milik penuh EFG Hermes Holding.

Ia berkata Beaufort menubuhkan Vortex Solar bagi membiayai sebahagian pengambilalihan oleh Vortex Solar UK Ltd (Vortex Solar UK), anak syarikat milik penuh tidak langsung Vortex Solar, ke atas semua saham TerraForm UK 2 Intermediate Holdings Ltd dan TerraForm UK 3 Intermediate Holdings Ltd (bersama 'Target') dan menebus nota Pinjaman yang diberikan kepada Target.

Target memegang kepentingan tertentu dalam syarikat projek solar PV yang memiliki dan mengurus operasi projek-projek solar PV di United Kingdom dengan kapasiti gabungan pemasangan bersih kira-kira 365 MW. 

TNB berkata Vortex Solar UK pada Jumaat, menandatangani perjanjian jual beli bersyarat dengan pemilik langsung Target, SunEdison Yieldco UK Holdco 2, LLC, bagi mengambil alih, secara langsung atau menerusi anak syarikat milik penuhnya, kesemua saham dan menebus nota pinjaman yang diberikan, kepada Target (Perjanjian Jual Beli).

Serentak itu juga, menerusi pelaksanaan Perjanjian Jual Beli itu, Beaufort dan Vortex Solar menandatangani perjanjian pelaburan dan pengurusan aset (IAMA) membabitkan pengurusan Target dan portfolionya. 

TNB juga mengumumkan ia telah memeterai perjanjian pemegangan saham hari ini dengan Beaufort dan Vortex Solar untuk mengawal selia hubungan antara satu sama lain berkitan Vortex Solar.

Transaksi itu dijangkakan selesai menjelang suku ketiga 2017 dan akan menyediakannya dengan pendapatan segera. - BERNAMA

TNB, Solar PV

Artikel Lain