suria

Bank Rakyat Sasar RM1 Bilion Transaksi Kad Kredit Tahun Depan

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menyasarkan untuk mendaftar lebih 450,000 pemegang kad kredit dengan transaksi RM1 bilion, tahun depan menerusi pengenalan Kad Muslimah.

Ketua Pegawai Operasinya Md Khairuddin Arshad berkata pengenalan kad Muslimah itu bertujuan meningkatkan bahagian kad kredit Bank Rakyat secara keseluruhan daripada nisbah 50 kepada 55 dalam tempoh 12 bulan.

"Segmen wanita sangat penting dalam pasaran pengguna dan kami menjangkakan ia akan berkembang.

"Pada masa ini, kami mempunyai 385,000 pemegang kad kredit dengan jumlah transaksi sekitar RM800 juta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Muslimah, di sini Selasa.

Khairuddin berkata kad itu menyediakan pelbagai tawaran eksklusif untuk pelanggan wanita, termasuk penyediaan kadar keuntungan kompetitif, dan pengecualian caj bagi urus niaga di luar negara dan yuran tahunan.

"Pemegang kad boleh menikmati diskaun lima hingga 10 peratus di lokasi percutian serta pembelian produk dan barangan dan perkhidmatan patuh Syariah di butik dan pusat-pusat kecantikan serta kesihatan terpilih," katanya.

Khairuddin berkata Kad Muslimah juga sejajar dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan urus niaga tanpa tunai, dan bank akan membuka lebih banyak terminal kad kredit untuk menggalakkan lagi pembelian tanpa tunai.

Pada pelancaran itu, Noor Neelofa Mohd Noor, pelakon, pengacara dan model yang lebih dikenali dengan panggilan Neelofa, dipilih sebagai duta Kad Muslimah.

"Kami yakin populariti Neelofa akan menjadi faktor utama bagi menarik lebih ramai wanita memilih kad itu, serta meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai produk dan perkhidmatan Islam yang kami tawarkan," kata Khairuddin. - BERNAMA

Bank Rakyat

Artikel Berikut

Artikel Lain