suria

Pos Malaysia Unjur Hasil Antara 10-15 Peratus Menerusi Usaha Sama Etiqa Takaful

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd menjangkakan memperoleh hasil antara 10 dan 15 peratus tahun depan menerusi premium bernilai RM10 juta yang akan dijual susulan usaha sama strategik dengan Etiqa Takaful Bhd.

Penyedia perkhidmatan pos itu hari ini menandatangani perjanjian usaha sama dengan Etiqa Takaful bagi menawarkan pelan pertama takaful keluarga, Pos Khairat Takaful.

Pelan ini disediakan secara eksklusif di semua cawangan Pos Malaysia di seluruh negara.

Bercakap kepada pemberita selepas pelancaran produk itu hari ini, Ketua Pegawao Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata perkhidmatan itu merupakan strategi syarikat untuk meluaskan aliran pendapatannya.

"Operasi mel menyumbang 30 peratus hasil dan menerusi perkhidmatan ini, kami dapat memanfaatkan rangkaian kami di seluruh negara," katanya.

Selain sumbangan hasil sebanyak 30 peratus daripada operasi mel, perkhidmatan kurier menyumbang lebih sedikit (30 peratus) manakala selebihnya daripada operasi peruncitan, termasuk usaha sama dengan syarikat insurans.

Selain Etiqa Takaful, Pos Malaysia kini mempunyai 14 syarikat yang disenarai sebagai panel insuransnya, kata Mohd Shukrie.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Ageas Holdings Bhd (syarikat induk Etiqa Takaful) Kamaludin Ahmad berkata pelan itu sudah dipasarkan sejak Mei lepas, dan setakat ini 4,996 polisi dengan sumbangan berjumlah RM331,420 dikeluarkan.

"Usaha sama itu menyasarkan untuk melindungi lebih 160,000 peserta tahun depan menerusi penawaran pelan Khairat kepada semua pelanggan Pos Malaysia, berusia dari 18 hingga 70 tahun," katanya.

Pelanggan boleh melanggan pelan itu, yang memberi pelindungan kepada pasangan dan sehingga tiga anak dengan bayaran RM60 setahun, serta RM80 setahun untuk fleksibiliti memilih manfaat yang lebih besar.-- Bernama


Pos Malaysia, Etiqa Takaful

Artikel Lain