suria

Eksport Barangan Berasaskan Getah Dijangka Peroleh RM18.5 Bilion

KUALA LUMPUR: Eksport barangan berasaskan getah dijangka mencapai perolehan kira-kira RM18.5 bilion tahun ini, dipacu oleh penggunaan sarung tangan perubatan pakai buang yang tinggi, kata Menteri Perladangan Industri dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata pihaknya akan terus menggalakkan pengeluaran barangan bernilai tambah lebih tinggi khususnya produk hiliran seperti sarung tangan pakai buang.

"Kita mahu menggalakkan produk yang mempunyai nilai tambah tinggi, bukan setakat getah asli sahaja," katanya kepada pemberita selepas melawat pejabat Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia (MREPC) di sini, Rabu.

Mah berkata dari Januari hingga Jun tahun ini, eksport barangan berasaskan getah meningkat 4.2 peratus kepada RM8.82 bilion dari tempoh yang sama tahun lepas, dengan Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Jepun menyumbang 60 peratus daripada eksport getah keseluruhan Malaysia.

Tahun lepas, perolehan daripada barangan berasaskan getah meningkat kepada RM18 bilion dengan sarung tangan getah, yang menjadi produk eksport utama, menyumbang sebanyak RM13.1 bilion.

Sementara itu, Mah berkata kementerian itu sering berbincang dengan Kementerian Kesihatan berkenaan untuk mengalakkan pengamal sektor kesihatan supaya kerap menukar sarung tangan perubatan bagi mengurangkan penyebaran jangkitan.

"Jika mereka mengguna pakai amalan ini, iaitu penggunaan 25 pasang setahun, yang merupakan purata dunia, Malaysia boleh meningkatkan eksport sarung tangan perubatan pakai buang ke India dan China sekaligus meraih perolehan yang tinggi," katanya.

Penggunaan sarung tangan perubatan pakai buang di Malaysia hanya pada tujuh pasang setahun, manakala tiga pasang di China, India (dua pasang) dan United Kingdom (75 pasang) setahun.

Malaysia, terkenal dengan barangan getah berkualiti tinggi, merupakan pengeluar sarung tangan getah nombor satu dunia dan menguasai 56 peratus bahagian pasaran global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MREPC, Low Yoke Kiew berkata promosi giat dilaksanakan secara berterusan dan telah memanfaatkan 80 syarikat dengan  menyertai lebih 150 misi perdagangan di 36 negara tahun ini.

"Daripada jumlah itu, 34 syarikat telah diberikan geran melalui program insentif kami untuk membeli kelengkapan pengujian penting," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain