suria

KPRJ Sampaikan Dividen RM20 Juta Kepada Kerajaan Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin (tengah) menyerahkan replika cek RM 20 juta yang diterima dari Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd, Abd Razak Mohd Yusoff (kiri) kepada Pegawai Kewangan Negeri Johor Mohd Nasir Abd Salam (kanan) pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPRJ di Danga Bay Convention.

JOHOR BAHARU:  Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd menyampaikan dividen berjumlah RM20 juta kepada kerajaan Johor sebagai penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Cek dividen berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ Abd Razak Mohd Yusoff kepada Pegawai Kewangan Negeri Mohd Nasir Abd Salam yang disaksikan Mohamed Khaled, pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KPRJ, di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini, Ahad.

Abd Razak berkata sumbangan dividen bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2015 itu memperlihatkan betapa KPRJ berasa bertuah atas kepercayaan yang diletakkan kerajaan negeri terhadap agenda pembangunan Johor.

"Sekalung penghargaan buat Menteri Besar yang juga Pengerusi KPRJ kerana menjadi pencetus semangat dan memberikan kepercayaan kepada KPRJ dalam melaksanakan projek pembangunan di Johor. KPRJ akan terus komited untuk membantu kerajaan negeri dalam menjayakan pelbagai projek," katanya.

Abd Razak berkata KPRJ sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Johor memandang serius projek yang diamanahkan kerana sedar setiap aspek pembangunan mempunyai peranan yang amat penting dalam membantu kerajaan negeri mencapai kesejahteraan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya juga amat berbangga kerana amanah diberikan membolehkan KPRJ menjadi ejen penting yang menyumbang secara langsung dalam merealisasikan aspirasi Johor Berkemajuan, dalam memakmurkan negeri.

"Pembangunan yang diamanahkan kepada KPRJ bukan sahaja akan dilaksanakan dengan baik mengikut keperluan semasa tetapi mengambil kira keperluan akan datang.

"KPRJ juga akan terus mengamalkan perancangan pembangunan yang sistematik, terancang dan teratur supaya sebarang program pembangunan mampu dinikmati dalam jangka masa panjang oleh semua rakyat Johor," katanya.

Pada majlis itu, Abd Razak dan Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan hari raya kepada 35 anak yatim dari Persatuan Insani Darul Takzim. 

Artikel Lain