suria

Defisit Fiskal Malaysia Berkurangan 3.1 Peratus KDNK Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Affin Hwang Investment Bank Bhd  mengunjurkan defisit fiskal Malaysia dapat dikurangkan sebanyak 0.1 peratus kepada 3.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding 3.2 peratus tahun lepas berikutan peningkatan harga minyak dunia.

Defisit fiskal diunjurkan terus dikurangkan kepada 3.0 peratus pada 2017.

Bank pelaburan itu berkata harga minyak dunia semakin pulih sejak mencatat  paras terendah dalam tempoh 12 tahun, antara US$26 dan US$28 setong pada pertengahan Januari 2016 kepada kira-kira US$47 setong pada masa ini.

Ia berkata antara Januari dan pertengahan Julai, Brent mentah mencatat purata US$42 setong dan dijangka kekal sekitar tahap US$48-US$50 dalam tempoh beberapa bulan berbaki 2016, menjadikan purata setahun penuh kepada sekitar US$ 45 setong.

"Memandangkan kira-kira 14 peratus daripada pendapatan kerajaan Malaysia bagi 2016 dijangkakan berkaitan minyak, kami percaya pemulihan harga minyak mengurangkan tekanan ke atas kedudukan fiskal negara," katanya dalam satu nota penyelidikan pada Jumaat.

Bank pelaburan itu berkata pada awal bulan Januari, sebagai tindak balas kepada kutipan hasil berkaitan minyak yang rendah selain bagi mengekalkan kedudukan defisit fiskal pada 3.1 peratus daripada KDNK, kerajaan mengambil langkah mengoptimumkan perbelanjaan operasi (OPEX) dan perbelanjaan pembangunan (DE), dengan mengurangkan kos perbelanjaan tidak kritikal, seperti bekalan dan perkhidmatan.

"DE dikurangkan kepada RM46 bilion dan RM45 bilion beradasarkan anggaran purata harga minyak pada US$35 dan US$30 setong," katanya.

Ia berkata ini dilakukan dengan menjadualkan semula projek bukan fizikal dan projek yang masih dalam kajian, mengurangkan komitmen aliran tunai sebanyak RM4 bilion hingga RM5 bilion, dengan projek infrastruktur yang mempunyai kesan pengganda yang lebih besar diberikan keutamaan pelaksanaan.

"Berdasarkan anggaran kami, peningkatan harga minyak kepada US$46-US$48 setong, dengan purata kira-kira US$42 setong (selesa melepasi US$30-US$35 setong), kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk meningkatkan bajet DE kepada RM50 bilion," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan dijangka menunggu unjuran ekonomi ke atas permintaan domestik yang lebih jelas, memandangkan kelembapan dalam penggunaan dan pelaburan swasta, sebelum membuat keputusan mengenai pengembalian semula beberapa pengurangan dalam perbelanjaan pembangunan.

Katanya tidak ada keperluan mendesak untuk menyediakan peruntukan perbelanjaan bagi pembangunan jika ekonomi Malaysia terus pada kadar semasa yang stabil, dengan peningkatan hasil minyak perlu untuk menampung OPEX yang lebih tinggi.

"Bagi 2016, berdasarkan peruntukan emolumen dan pencen, seiring dengan kenaikan gaji kakitangan awam, kami percaya OPEX akan lebih tinggi daripada peruntukan yang disediakan dalam Belanjawan yang disemak semula, dalam trend yang sama pada 2015," katanya.

Secara keseluruhan, bank pelaburan itu berkata kerajaan akan kekal pada penyepaduan fiskalnya, kecuali terdapat kemerosotan yang ketara dalam ekonomi dunia.

Affin, KDNK

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain