suria

Sona Petroleum Akan 'Gulung Tikar'

Datuk Seri Hadian Hashim

PETALING JAYA: Sona Petroleum Bhd, badan tujuan khas untuk tugas-tugas pengambilalihan (SPAC), dijangkakan 'gulung tikar' tidak lama lagi selepas gagal membuat sebarang pengambilalihan yang layak (QA) yang perlu dipenuhi sehingga 31 Julai ini mengikut garis panduan SPAC.

Pengarah Eksekutif/Pengarah Urusannya Datuk Seri Hadian Hashim berkata Sona akan melalui proses pembubaran, dan perkara itu sedang dibincangkan.

"Syarikat ini dalam proses melantik seorang penyelesai selepas Julai, dan berapa lama tempoh yang akan diambil untuk membubarkan bergantung kepada penyelesai berkenaan," katanya kepada pemberita pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Selasa.

"Pada masa ini tunai dalam tangan sayrikat berjumlah lebih RM500 juta, dan pelabur dijangka menerima semula kira-kira 48 sen setiap saham selepas ditolak  cukai," katanya.

Hadian berkata malang sekali syarikat itu terpaksa dibubarkan memandangkan ia memperoleh QA yang baik namun kedudukan pasaran minyak tidak menyebelahi syarikat.

Pada April lepas, pemegang saham menolak cubaan kedua Sona untuk memperoleh aset yang layak untuk membeli 100 peratus kepentingan dan hak pengendalian dalam Stag Oilfield Australia, membabitkan sejumlah US$25 juta, yang sudah mengeluarkan minyak pada kadar 4,600 tong sehari.

Pada Januari tahun lepas, Sona menamatkan perjanjian untuk membeli kepentingan dalam dua blok minyak dan gas blok di teluk Siam daripada Salamander Energy yang disenarai di London membabitkan AS$280 juta.

Sona merupakan SPAC kedua yang gagal mendapatkan kelulusan pemegang saham tahun ini untuk QA selepas CLIQ Energy yang juga kini dalam proses pembubaran.-- Bernama


Sona Petroleum, Hadian Hashim

Artikel Lain