suria

Scomi Komited Siapkan Projek Perluasan Monorel KL

SEPANG: Scomi Engineering Bhd komited untuk menyiapkan  projek perluasan Monorel Kuala Lumpur bernilai RM494 juta, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Rohaida Ali Badarudin.

Beliau berkata setakat ini, penyedia penyelesaian pengangkutan awam dalam industri rel dan kenderaan perdagangan itu telah menyiapkan 82.9 peratus daripada kerja-kerja tersebut dan selebihnya adalah untuk menyerahkan enam tren.

"Kerja-kerja sedang dijalankan dan kami berhasrat untuk menyiapkan projek itu. Ia buatan Malaysia dan produk yang baik," katanya selepas majlis penyerahan peralatan 'Mobile Command Post' dan Hazmat oleh Scomi Engineering kepada Malaysia Airports Holdings Bhd di sini, Rabu.

Mengulas lanjut mengenai kemajuan projek monorel itu, beliau berkata, syarikat telah hampir menyiapkannya, yang termasuk sistem isyarat, menaik taraf stesen, lima set tren yang beroperasi pada masa ini, satu tren di peringkat ujian dan enam lagi masih dalam proses pembuatan.

Semasa ditanya sama ada syarikat itu menghadapi masalah aliran tunai walaupun mendapat beberapa projek, Rohaida berkata: "Kami mempunyai teknologi dan potensi yang baik dan kami perlu menjaga organisasi dan memastikan ia berkembang."

Sementara itu, kontrak utama ditandatangani pada 2011 dengan Prasarana Malaysia Bhd yang merupakan pengendali monorel dan laluan transit aliran ringan di Lembah Klang.

Scomi telah mendapat kontrak untuk menyerahkan 12 set tren monorel empat gerabak baru, membina depot baru dan memasang sistem isyarat baru serta menaik taraf stesen monorel Kuala Lumpur, termasuk sistem elektrik dan mekanikal sistem pada RM494 juta.

Menurut Prasarana, kontrak tambahan kedua memerlukan Scomi menyerahkan 10 set tren empat gerabak, termasuk tujuh set, pada 31 Disember 2015.

Setakat ini, dilaporkan bahawa hanya enam set telah dihantar, yang mana lima set kini dalam perkhidmatan hasil.

Mengenai projek luar negara Scomi, Rohaida berkata, syarikat itu mengintai peluang projek-projek bernilai sehingga RM20 bilion.

"Untuk masa depan syarikat Malaysia, kami secara aktif mencari  peluang, termasuk kerjasama syarikat-syarikat di negara yang ditembusi, dan kami menyasar RM20 bilion dalam nilai projek luar negara," katanya.

Rohaida berkata Thailand, Turki dan Sri Lanka adalah antara negara berkenaan dan juga di benua Afrika tetapi menambah bahawa ia akan mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk merealisasikan projek..

Scomi mengeksport produknya ke lebih 13 negara termasuk China, Hong Kong, Sri Lanka, Maldives dan Yemen.

Artikel Lain