suria

Takaful Malaysia Raih Anugerah

KUALA LUMPUR: Syarikat Takaful Malaysia Bhd meraih anugerah Syarikat Takaful Terbaik di Malaysia untuk kali keempat berturut-turut di majlis Anugerah Takaful Antarabangsa 2016 yang berlangsung di London, baru-baru ini.

Menurut Takaful Malaysia, pengiktirafan berkenaan membuktikan keutuhan syarikat di dalam industri serta mengukuhkan lagi kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam menyediakan penyelesaian insurans yang ekstensif.

Anugerah Takaful Antarabangsa 2016 yang kini berada pada tahun ke-10 itu  mengiktiraf kecemerlangan dan pencapaian syarikat yang beroperasi dalam sektor Takaful dan Retakaful di peringkat global, menurut Takaful Malaysia dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata anugerah itu adalah bukti terhadap manfaat serta nilai hebat yang telah diberikan secara konsisten kepada pihak-pihak berkepentingan.

"Takaful Malaysia akan terus memberi penekanan terhadap empat bidang teras iaitu capaian pelanggan, ketangkasan operasi, daya saing kos dan keyakinan pihak berkepentingan.

"Kami akan mengukuhkan imej syarikat melalui pelbagai saluran pengiklanan dan aktiviti pemasaran bagi mengukuhkan tarikan utama yang lebih meluas selain mempertingkatkan tawaran produk kami untuk kekal sebagai penyedia keperluan insurans terbaik untuk rakyat Malaysia," kata beliau.

Majlis anugerah itu diiktiraf sebagai antara acara terulung dan penganugerahan diberikan khusus kepada syarikat takaful di seluruh dunia yang memberikan perkhidmatan sokongan yang cemerlang, kualiti pencapaian terbaik, sumbangan dan kepimpinan dalam industri.

Takaful Malaysia

Artikel Lain