suria

TPPA: Miti Bantu 646,000 PKS Bersaing Di Pasaran Terbuka

JASIN: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan membantu 646,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini untuk bersaing dalam pasaran terbuka di bawah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Maslan berkata, usaha itu akan dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh dua tahun dengan kerjasama semua agensi di bawah kementerian sebelum perjanjian itu dilaksanakan sepenuhnya.

"Semua PKS di negara ini mempunyai tempoh dua tahun untuk bersiap sedia menghadapi TPPA. Kita akan memperkukuhkan kapasiti melalui latihan untuk menjadi syarikat yang berdaya maju dan berdaya saing dalam pasaran lebih terbuka.

"Latihan ini boleh dilakukan dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia untuk meningkatkan ilmu pengeluaran produk dan pengurusan pengeluaran terkini," katanya kepada pemberita selepas melawat Melaka Halal Hub di sini, Isnin.

Beliau berkata kementerian mempunyai agensi yang berpengalaman untuk membantu PKS menembusi pasaran luar negara dengan lebih efektif selepas TPPA dilaksanakan pada 2018.

Katanya, kementeriannya melalui 46 pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan 22 pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) di luar negara akan membantu mempromosikan produk keluaran mereka di peringkat antarabangsa.

Ahmad berkata PKS akan turut dibantu untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui laman sesawang khas yang akan diwujudkan bagi setiap negara yang menyertai TPPA.

"Laman sesawang ini akan dihubungkan dengan laman sesawang utama bagi aktiviti e-dagang atau e-pemasaran yang melibatkan 12 negara TPPA," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan akan melipatgandakan usaha untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan PKS Bumiputera yang berjaya di negara ini.

Katanya, pada masa ini, hanya 38 peratus daripada 646,000 PKS adalah milik Bumiputera dan peratusan itu kecil jika dibandingkan dengan jumlah kaum Bumiputera di negara ini.

Beliau juga berkata 90 peratus daripada jumlah PKS itu menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan.

"Bilangan kaum Bumiputera di negara ini adalah 68 peratus daripada jumlah penduduk dan saya tahu ada ramai lagi usahawan Bumiputera di luar sana yang jika dibantu, mereka juga akan berjaya.

"Ini adalah cabaran baharu dan besar buat kementerian, namun saya jangka usaha ini akan berjaya jika semua pihak memberi kerjasama dan memainkan peranan mereka," katanya.-- Bernama

Miti, PKS, TPPA, Matrade

Artikel Lain