suria

Petron Naik Taraf Penapisan Minyak Di PD

KUALA LUMPUR: Petron Malaysia Refining and Marketing Bhd merancang untuk menaik taraf penapisan minyaknya di Port Dickson, Negeri Sembilan, sejajar dengan matlamat untuk beralih kepada gred minyak Euro 4 daripada standard Euro 2 ketika ini.

Ketua Runcit Petron Faridah Ali berkata minyak Ron 95 dan diesel syarikat masih menggunakan standard Euro 2 ketika ini dan syarikat perlu menaik taraf penapisan untuk memenuhi standard Euro 4.

"Akan ada peruntukan (perbelanjaan modal), tetapi, memandangkan kami masih dalam perancangan awal, peringkat mereka bentuk, melukis dan tender, ia terlalu awal untuk meletakkan jumlahnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Cabaran Petron Supermarket Sweep Petron di sini, Jumaat.

Pada bulan lepas, Petron, memperkenalkan gasolin Blaze 97 Euro-4M.

Dilaporkan Petron menyasarkan pertumbuhan jualan antara lima dan 10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, susulan pengenalan produk baharu.

Mengenai stesen minyak, Faridah berkata Petron telah membuka lapan stesen minyak yang baharu, dengan 20 buah lagi masih dalam pembinaan.

Sementara itu, pada acara hari ini, Petron memberi ganjaran kepada 10 buah keluarga membeli belah selama lima minit di pasar raya Tesco, dengan masing-masing membawa pulang RM5,000 nilai barangan runcit.

Selain itu, Petron turut menyumbang barangan runcit bernilai RM2,500 dengan dua buah rumah anak yatim, Rumah Kasih Nurul Hasanah dan Kirtash Home.-- Bernama


Petron, PD

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain