suria

TPP Hampir Dimuktamadkan Selepas Langkah Senat AS

MELBOURNE: Australia percaya rundingan perjanjian perdagangan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) mungkin hampir dimuktamadkan selepas Senat AS membenarkan kuasa 'mempercepatkan' kepada Presiden Barack Obama, menurut Australian Associated Press (AAP).

Senat mengundi 60-38 untuk membenarkan Obama kuasa berunding dalam perjanjian perdagangan itu dan mempercepatkannya melalui Kongres.

Malaysia merupakan antara negara yang sedang merundingkan perjanjian TPP dengan AS.

"Langkah ini memberi laluan kepada menteri-menteri dari negara masing-masing untuk bertemu dalam masa terdekat dengan matlamat memuktamadkan rundingan itu yang telah memakan masa yang lama," kata Menteri Perdagangan Australia Andrew Robb kepada AAP.

Perjanjian itu akan membawa kepada perdagangan yang lancar dan pelaburan di 12 buah negara dan menyumbang 40 peratus daripada pendapatan global, katanya.

Selain Malaysia dan Amerika Syarikat, negara lain yang terlibat dalam rundingan TPP ialah Australia, Brunei, Kanada, Jepun, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa dan Perdagangan (DFAT) Australia dalam kenyataan menafikan TPP akan menghalang negara memperkenalkan label makanan negara asal, aturan biokeselamatan dan makanan yang lemah, mengurangkan kandungan media tempatan dan menyebabkan kos perubatan lebih tinggi.

Katanya kemasukan peruntukan Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS)tidak akan menyebabkan syarikat asing mendakwa kerajaan Australia kerana kehilangan keuntungan.

"Ia juga tidak menghalang kerajaan daripada menukar dasarnya atau mengawal selia kepentingan awam dalam bidang seperti sektor kesihatan dan alam sekitar," katanya.

DFAT berkata peruntukan harta intelek dirundingkan dalam rangka kerja undang-undang Australia sedia ada. 

Australia, AS

Artikel Lain