suria

Lebih Banyak Sektor Swasta Dijangka Sertai BIMP-EAGA

KUALA LUMPUR: Lebih banyak sektor swasta dijangka menyertai Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia (BIMP-EAGA)dalam pembangunan hubungan udara dan laut, memandangkan prospek perniagaan menarik di rantau itu.

Sebelum ini, penyertaan daripada sektor swasta agak kurang disebabkan pulangan pelaburan yang kecil, kata Datuk Razali Che Mat, yang menyertai delegasi ke mesyuarat pegawai kanan BIMP-EAGA, baru-baru ini.

Bagaimanapun, persepsi ini telah berubah, terutamanya kini terdapat pakej insentif bagi pelaburan untuk menambah baik hubungan dalam EAGA, katanya kepada Bernama.

"Kekuatan dalam rantau BIMP-EAGA dan potensi pertumbuhan ekonomi kukuh menawarkan peluang bagi sektor swasta.

"Hubungan yang lancar di rantau ini akan mengukuhkan lagi aliran barangan, perkhidmatan, pelaburan dan penduduk rentas sempadan.

"Hubungan yang baik, terutamanya hubungan udara dan laut penting kerana lebih ramai orang melakukan perjalanan di rantau ini bagi pembangunan ekonomi dan pelancongan," kata Razali, yang juga Pengarah, Bahagian Pembangunan Serantau, Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Sebagai contoh, beliau berkata, sektor pengangkutan kapal persiaran adalah bahagian menarik yang perlu dibangunkan lagi kerana rantau BIMP-EAGA diletakkan sebagai destinasi pelayaran utama.

Mesyuarat BIMP-EAGA yang berakhir baru-baru ini mengkaji semula dan menilai pelaksanaan program keutamaan dan projek di bawah pelan tindakan 2012-2016 yang termasuk memantapkan hubungan di rantau ini.

Kerjasama ekonomi BIMP-EAGA merangkumi kawasan tanah seluas 1.54 juta kilometer persegi dengan potensi pasaran kira-kira 70 juta penduduk. 

BIMP-EAGA, Razali Che Mat, Asean

Artikel Berikut

Artikel Lain